suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Trend berkongsi kod respon pantas (QR) akaun bank di media sosial bagi meraih duit raya semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna Internet terutama menjelang Aidilfitri.
Namun, tindakan memuat naik kod QR secara terbuka itu dibimbangi membuka ruang kepada pelbagai risiko keselamatan termasuk penyalahgunaan maklumat perbankan serta penipuan kewangan.
Lebih membimbangkan, pendedahan maklumat walaupun sedikit boleh dimanfaatkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengumpul data individu sebelum digunakan dalam pelbagai modus operandi penipuan.
Konsultan Scam, Rahmat Fitri berkata, setakat ini kod QR sahaja tidak boleh digunakan untuk menggodam akaun bank seseorang.
“Melalui kos QR setakat hari ini sahaja memang dia tidak boleh godam akaun bank kita, mereka (scammer) cuma boleh masukkan duit.
“Tapi sekali lagi saya katakan bahawa kod QR itu boleh menjayakan proses ataupun aktiviti penipuan yang lain apabila dia boleh digabungkan dengan phishing (pancingan data) dan penipuan panggilan telefon,” katanya.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata, perkongsian kod QR secara terbuka di media sosial memberi peluang kepada penjenayah siber mengumpul maklumat asas pengguna untuk tujuan tertentu.
Menurutnya, maklumat kecil yang diperoleh daripada pelbagai sumber boleh digabungkan sehingga membentuk profil digital lengkap seseorang.
“Pihak tidak bertanggungjawab sebenarnya mengumpulkan maklumat kecil tentang kita sedikit demi sedikit sehingga membentuk satu profil digital yang lengkap.
“Apabila maklumat itu sudah lengkap, ia boleh digunakan untuk tujuan penipuan,” katanya.
Rahmat berkata, profil yang lengkap itu kemudian digunakan penjenayah bagi meyakinkan mangsa dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk penyamaran sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan.
Katanya, orang ramai juga perlu berhati-hati sekiranya menerima wang daripada individu tidak dikenali kerana keadaan itu berpotensi mengaitkan mereka dengan aktiviti jenayah kewangan tanpa disedari.
Menurutnya, akaun bank individu boleh dijadikan saluran oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memindahkan wang tertentu sebelum digunakan bagi tujuan lain sekali gus berisiko menyebabkan pemilik akaun berdepan siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, tindakan menayangkan QR bank secara terbuka untuk meminta duit raya tanpa keperluan tidak menepati adab yang dianjurkan dalam Islam.
“Jika ia dilakukan tanpa keperluan, ia boleh dianggap sebagai budaya meminta-minta yang tidak digalakkan dan menjejaskan maruah diri.
“Islam menggalakkan sedekah dan pemberian hadiah dengan ikhlas, bukannya melalui permintaan terbuka di media sosial,” katanya.
Beliau menambah, sedekah yang diberikan dengan kerelaan hati adalah yang paling bernilai. Jika pemberian dilakukan kerana terpaksa atau rasa segan, keberkatan dan pahala sedekah itu mungkin berkurang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




