saifulaffendy@hmetro.com.my
Bangkok: Bintang lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni kembali dengan misi yang lebih besar pada edisi Sukan SEA kali ini, iaitu memburu emas pertama pada penampilan keempatnya di temasya dwitahunan itu selepas dua kali meraih perak.
Atlet berusia 28 tahun itu sebelum ini meraih pingat gangsa pada penampilan pertama 2019 di Filipina sebelum meraih perak pada edisi 2021 di Hanoi dan 2023 di Kemboja, kedua-duanya tewas kepada seteru utamanya dari Thailand, Subenrat Insaeng, yang digelar ratu lempar cakera Asia Tenggara.
Subenrat bukan calang-calang pesaing, memenangi emas sejak edisi 2011 serta memiliki pengalaman besar di pentas Olimpik Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024.
Queenie mengakui kekecewaan dua tahun lalu di Kemboja masih dirasai, namun ia menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih matang dan tenang pada edisi kali ini.
“Perasaan kecewa itu masih ada, tetapi banyak yang saya pelajari daripadanya. Saya perlu fokus kepada persiapan sendiri berbanding terlalu memberi fokus untuk memenangi pingat.
“Apabila anda melakukan perkara asas dengan betul, kejayaan akan menjadi milik anda,” katanya.
Mengulas peluang memburu emas yang menjadi idamannya sejak penampilan pertama, Queenie memilih untuk kekal realistik dan tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.
“Kali ini saya cuma fokus pada apa yang saya boleh buat. Pingat itu saya anggap sebagai bonus, tapi saya tetap akan memburunya. Saya tak pasti warna apa, cuma saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Mengakui Subenrat kekal sebagai lawan paling sukar, Queenie berkata keutamaan sebenarnya ialah menewaskan dirinya sendiri.
“Memang betul, sebab dia seorang Olimpian. Tapi bagi saya, saya cuma nak fokus pada diri sendiri. Saingan terbesar sebenarnya adalah diri saya sendiri. Saya nak lawan diri saya ketakutan saya, kebimbangan saya. Perkara-perkara seperti itu,” katanya.
Selain misi podium, Queenie turut memasang impian untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 52.77 meter (m) yang dilakukannya pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




