Rabbani, Lah Ahmad, Mawi & Oja Bakal Meriahkan Program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’

Rabbani, Lah Ahmad, Mawi & Oja Bakal Meriahkan Program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’

Barisan penyanyi popular seperti Kumpulan Rabbani, Lah Ahmad, Mawi dan Oja bakal memeriahkan Program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’ yang bakal berlangsung pada 30 November 2024, jam 08.00 malam bertempat di IDCC Shah Alam, Selangor.

Menurut Azadan Abdul Aziz selaku ketua kumpulan nasyid Rabbani mewakili Rabbani Empire Resources, mereka berbesar hati dapat menjalin kerjasama untuk mengadakan acara ini.

“Majlis ini diadakan dengan kerjasama Rabbani Empire Resources sebagai rakan strategik. Kami berbesar hati dapat sama-sama terlibat dalam acara ini. Selain rakan strategik, kami juga bakal melakukan persembahan bersama , Lah Ahmad, Mawi dan Oja.

“Program ini menampilkan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al Makki yang bakal mengetuai bacaan doa dan alunan ayat suci Al-Quran serta DJ Pyan dari IKIM FM sebagai pengacara program,” katanya.

Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia komited dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan program.

“Kami telah lama berdedikasi dalam menyediakan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menyebarkan mesej kemanusiaan, dan memupuk semangat perpaduan. Dengan itu, program ini adalah manifestasi dari usaha kami untuk terus memperkukuh nilai-nilai keamanan, kasih sayang, dan persaudaraan sejagat.

“Program ini diadakan dengan kerjasama rakan strategik kami Rabbani Empire Resources yang terdiri daripada ahli kumpulan Rabbani sendiri. Pemilihan artis terlibat berdasarkan pencapaian dan kredebiliti mereka dalam menyampaikan mesej-mesej kerohanian, kemanusiaan dan nasihat kepada peminat dan umum,” kata wakil Ensany menerusi sebuah kenyataan media.

Pakej meja dijual dengan harga RM10,000 (Platinum), RM7,000 (Emas), RM5,000 (Perak) dan RM3,000 (Gangsa) dan setiap meja boleh memuatkan 10 orang.

Program Ensany Global Peace bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi satu usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan yang universal.

Bagi anda yang ingin membuat tempahan meja atau seat program ‘Ensany Global Peace & Makan Malam Amal’ boleh melakukan carian akaun EnsanyMalaysia di Facebook atau Instagram.

Scroll to Top