Rabu khas untuk wanita UiTM bersukan

Rabu khas untuk wanita UiTM bersukan

sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menetapkan setiap hari Rabu sebagai Hari Sukan Wanita atau UiTM Ladies Sports Day bermula bulan ini, dalam usaha memperkasa pembabitan pelajar wanita dalam aktiviti sukan dan kecergasan.

Program yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 10 malam di Kompleks Sukan UiTM itu adalah kesinambungan kepada inisiatif Ladies Sports Nite yang diperkenalkan semester lalu dan mendapat sambutan menggalakkan.

Pelbagai acara sukan ditawarkan termasuk badminton, bola tampar, bola keranjang, tenis, bola jaring, petanque dan skuasy, manakala aktiviti kecergasan seperti zumba dan senamrobik pula dianjurkan pada setiap Rabu minggu pertama dan ketiga.

Menariknya, program ini turut mendapat sentuhan profesional apabila atlet dan bekas atlet negara yang kini berkhidmat di UiTM dilantik sebagai jurulatih serta instruktor klinik sukan bagi membimbing peserta.

“Pendekatan ini membantu pelajar wanita lebih yakin dan selesa untuk terbabit dalam sukan yang mungkin asing bagi mereka,” menurut kenyataan Pusat Sukan UiTM.

Lebih istimewa, pembabitan pelajar dalam program ini turut membabitkan jawatankuasa sukan kolej kediaman dan layak menerima kupon merit sebagai galakan tambahan.

Program ini membuktikan komitmen UiTM dalam menyokong kesejahteraan pelajar melalui pendekatan sukan yang inklusif dan menyeronokkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top