am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menafikan dakwaan beliau kononnya menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden BERSATU itu menjelaskan dakwaan sedemikian adalah satu fitnah.
Katanya, ketika bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu di Rusila, Terengganu baru-baru ini, hal pencalonan namanya tidak pernah dibangkitkan.
“Fitnah di bulan Ramadan. Ketika sedang membuat persediaan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) petang ini, saya dimaklumkan terdapat satu fitnah yang sedang tersebar.
“Ini merujuk kepada tuduhan bahawa ketika bertemu Presiden PAS di Rusila pada 18 Februari lalu, saya telah menawarkan diri sebagai calon ketua pembangkang mewakili BERSATU.
“Saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili BERSATU dalam pertemuan itu,” katanya menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Katanya, fakta atau kebenaran itu boleh disemak sendiri dengan pemimpin PAS yang turut hadir dalam pertemuan itu iaitu Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Razali Idris.
“Bahkan boleh disahkan juga dengan Tan Sri Hadi Awang sendiri. Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf,” katanya.
Takiyuddin pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini memaklumkan PAS akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Namun pada Khamis lalu, Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN menjelaskan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang setakat ini masih kekal, dengan tempat duduk Ahli Parlimen yang dipecat parti itu juga tidak berubah, biarpun wujud desakan dalaman BERSATU menuntut Hamzah digantikan dan kedudukannya diubah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




