Rafiq terima Anugerah Kehormat Madani Best Media Business Award

Rafiq terima Anugerah Kehormat Madani Best Media Business Award

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Rafiq Razali menerima Anugerah Kehormat pada majlis Madani Business Awards 2025, malam ini.

Anugerah menerusi kategori ‘Madani Best Media Business Award’ itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Program anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor (DPIM Selangor) bersama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Yayasan Generasi Malaysia, mengiktiraf lebih 50 Ketua Pegawai Eksekutif, usahawan serta entiti korporat Malaysia yang berjaya menggabungkan kejayaan perniagaan dengan impak sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, majlis diadakan bagi mengiktiraf mereka yang mencapai kejayaan komersial sambil memberi impak positif kepada masyarakat.

Menurutnya, pencapaian itu berasaskan enam nilai Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Selaras dengan tema ‘Excellence With Values’, nilai ihsan dan amanah turut ditekankan sebagai panduan penting dalam memastikan perniagaan memberi manfaat kepada masyarakat secara adil, beretika dan bertanggungjawab.

“Anugerah ini menilai kecemerlangan organisasi daripada aspek strategi perniagaan, pertumbuhan dan amalan terbaik,” katanya pada majlis berkenaan di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah mewakili Menteri Besar Selangor.

Antara kategori utama diperkenalkan adalah Anugerah Kecemerlangan Utama, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Tokoh Korporat dan Usahawan serta Anugerah Kehormat.

Organisasi media dan pempengaruh media sosial yang mempromosikan nilai positif turut diberi pengiktirafan.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata, penilaian dilakukan oleh lembaga penasihat termasuk panel pakar industri melalui indikator kewangan, operasi dan kelestarian jangka panjang bagi memastikan proses yang telus serta menyeluruh.

“Perniagaan yang menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan, pengalaman pelanggan dan daya saing dalam landskap ekonomi Malaysia turut menjadi salah satu kriteria dalam menghargai penerima anugerah.

“Calon mesti beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan melalui penilaian ketat panel pakar, merangkumi prestasi, tadbir urus, inovasi dan sumbangan sosial yang disokong oleh pasukan penyelidikan.

“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana amalan perniagaan yang bertanggungjawab boleh bergerak seiring dengan kejayaan komersial,” katanya.

Katanya, penganjuran itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam memupuk amalan perniagaan bertanggungjawab selaras dengan kerangka Malaysia Madani.

Majlis anugerah itu disokong Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang memacu inovasi bertanggungjawab, memperkukuh kesejahteraan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan berdaya saing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top