PETALING JAYA: Bekas Timbalan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, keputusan untuk tidak kembali ‘berdamai’ dengan parti itu bukan berpunca daripada soal jawatan atau perasaan merajuk, sebaliknya disebabkan hilangnya prinsip keadilan dalam parti berkenaan.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, keputusan itu telah dibuat kira-kira dua bulan sebelum proses pengundian parti berlangsung selepas melihat hala tuju dan corak percaturan dalaman parti, tahun lau.
Rafizi mendakwa, beliau mula memahami ‘permainan politik’ dalam parti itu dua minggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan supaya diberikan laluan mudah kepadanya.
Dakwanya, mesej sebenar ialah beliau tidak lagi dikehendaki mempunyai pengaruh dalam parti dan hanya diminta berperanan sebagai teknokrat tanpa kuasa sebenar dalam kepimpinan.
“Maksudnya duduk seorang diri dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), jadi ‘rubber stamp’, depan cakap lain, belakang cakap lain, buat lain dan umum lain.
“Saya tidak masuk politik untuk menang, tidak masuk untuk jadi menteri, tidak masuk untuk pangkat. Saya masuk politik sebab saya rasa ada peranan untuk membetulkan kerajaan.
“Dan bila parti itu sendiri sudah sampai ke peringkat menipu anggota sendiri?,” dakwanya dalam podcast YBM di sini hari ini.
Rafizi turut menegaskan, penglibatannya dalam politik bukan untuk mengejar kemenangan, jawatan menteri atau pangkat, sebaliknya mahu memainkan peranan membetulkan keadaan negara dan parti.
Beliau mendakwa, parti itu kini telah rosak apabila wujud pelbagai isu termasuk dakwaan penipuan terhadap anggota sendiri, yuran keahlian baharu sebanyak RM200, laporan polis berkaitan rasuah serta campur tangan pihak tertentu dalam jentera parti.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu sistem pengundian parti termasuk dakwaan penggunaan ‘blockchain’, fenomena kepala tanpa badan dan perubahan daripada sistem satu ahli satu undi kepada sistem perwakilan.
“Bila sesebuah parti dah hilang benda paling asas iaitu prinsip keadilan (sense of justice), parti itu dah rosak.
“Mencuri boleh, menipu boleh, salah guna kuasa boleh. Dah tak perlu tanya betul atau salah,” dakwanya. – UTUSAN




