
Rafizi (gambar kiri) bersama Nik Nazmi dijangka mengumumkan hala tuju politik baharu pada 17 Mei ini.
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa meninggalkan parti secara terhormat dan menyatakan pendirian politiknya dengan jelas.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan yang sama juga wajar dilakukan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, sekiranya kedua-dua mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.
Menurutnya, anggota parti tidak seharusnya terus dibiarkan tertanya-tanya selain PKR terus dibebani dengan polemik politik yang berpanjangan.
“Politik matang memerlukan kejujuran, bukannya sindiran berterusan.
“Jika benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota parti serta rakyat.
“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa serta terus mempengaruhi penyokong mereka dalam PKR,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau mengulas pengumuman Rafizi bersama Nik Nazmi yang dijangka mengumumkan hala tuju politik baharu pada 17 Mei ini selepas kedua-duanya meletakkan jawatan dalam Kabinet sebelum ini.
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil tempoh kira-kira setahun untuk meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.
Majlis pengumuman berkenaan dijadual berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi menegaskan bahawa PKR dibina atas semangat perjuangan dan bukannya untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik adu domba.
Katanya, anggota akar umbi bekerja siang dan malam mempertahankan kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika susah dan senang, bukannya untuk melihat pimpinan menghantar isyarat politik yang mengelirukan kepada ahli parti.



