Rafizi rakam keterangan lebih 8 jam, sambung lagi esok

Rafizi rakam keterangan lebih 8 jam, sambung lagi esok

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini selepas lebih lapan jam disoal siasat.

Keterangannya diambil susulan siasatan terhadap pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang melibatkan Kementerian Ekonomi yang pernah diterajuinya, serta sebuah syarikat dalam perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.

Rafizi berkata, beliau memberi kerjasama penuh sepanjang sesi merakam keterangan dan ia berjalan lancar.

Katanya, sesi soal siasat bermula kira-kira 10 pagi dan berakhir sekitar 6.40 petang.

“Proses siasatan biasa, dia tanya kita jawab. Saya beri kerjasama penuh dan proses berjalan dengan lancar, cuma dia panjang,” katanya kepada media selepas selesai memberi keterangan.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, sesi rakaman keterangan itu akan bersambung esok bermula 10 pagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan proses siasatan itu akan mengambil masa beberapa hari, bergantung kepada keperluan pihak SPRM.

“Saya kena datang esok, jam 10 pagi. Saya tak menolak kemungkinan (proses rakam keterangan) beberapa hari lagi, kita tak tahu berapa banyak lagi soalan,” katanya.

Rafizi berkata, beliau memberi keterangan tanpa kehadiran peguam dan akan meneruskan kaedah sama pada sesi seterusnya, namun enggan mengulas lanjut skop atau sudut siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, sepanjang sesi itu beliau hanya mengambil rehat yang singkat, kira-kira 15 minit untuk makan dan menunaikan solat.

Minggu lalu, bekas pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai turut dirakam keterangan selama tiga hari berturut-turut bagi membantu siasatan kes sama.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top