Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun kemungkinan besar bukan sebagai calon PKR.
Rafizi Ramli tak akan bersama PKR di PRU akan datang
Memetik laporan daripada Malaysiakini, dalam satu temu bual bersama akhbar Cina, Rafizi menyatakan dirinya tidak akan bertanding sebagai calon PKR pada PRU akan datang.
“Saya rasa saya tidak akan bertanding sebagai calon PKR. Saya tetap akan bertanding di Pandan, itu sudah saya putuskan… Bagaimana cara saya bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia,” katanya sambil tersenyum.

Rafizi Ramli jangka persaingan sengit di kerusi Pandan
Beliau menjangkakan persaingan sengit di kerusi itu, tetapi menegaskan matlamat utama adalah mengekalkan politik progresif berbilang kaum dan membawa perubahan politik, bukannya sekadar menang kerusi.
Rafizi dilihat semakin berpatah arang dengan PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden parti dalam pemilihan tahun lalu sebelum beliau menjadi pengkritik tegar terhadap Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dalam pada masa yang sama, Rafizi menegaskan PKR bukan lagi “rumah” baginya kerana parti itu berubah selepas Anwar menjadi perdana menteri, di mana beliau mendakwa Anwar mahu parti mengikut kehendaknya, sambil mendapatkan sokongan daripada UMNO dan GPS untuk mengekalkan kuasa.
Jelasnya, faktor utama yang menghalangnya meninggalkan PKR pada masa ini ialah undang-undang antilompat parti, yang boleh menyebabkan pengundi kehilangan wakil rakyat jika beliau keluar parti.

Artikel lain: Rafizi Ramli nekad! Akan teruskan saman terhadap Caprice
Beliau turut menyatakan tidak ada mana-mana parti di negara ini yang sesuai untuk menerima ahli politik bebas dan tegas seperti dirinya, malah secara berseloroh berkata mana-mana parti mungkin “takut” menerima beliau dan rakan-rakannya.
Rafizi turut menolak kemungkinan menubuhkan parti bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, kerana gaya dan matlamat berbeza.
“Kalau letakkan kami dalam bilik yang sama, kami akan bergaduh pasal ke mana nak pergi,” kata bekas menteri ekonomi itu.
Rafizi percaya beliau boleh memberi impak sebagai aktivis atau ahli pembangkang, berbeza dengan Khairy yang yakin perubahan boleh dicapai melalui kerajaan.
Sumber: Malaysiakini




