Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan bakal meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Rafizi Ramli secara terbuka luah kekecewaan
Menerusi podcast Yang Berhenti Menteri, Bekas Menteri Ekonomi itu secara terbuka menyatakan kekecewaan terhadap budaya politik dalam parti tersebut, terutamanya ketika pemilihan PKR pada Mei lalu.
“Budaya yang ditunjukkan dalam PKR pada pemilihan lepas, bukanlah sesuatu yang saya mahu jadi sebahagian daripadanya.
“Jika ada pemilihan baharu, saya tidak rasa kita ada kemampuan untuk membersihkan parti daripada budaya itu,” katanya dalam podcast berkenaan.
Rafizi Ramli tak tolak untuk menjauh dari politik
Rafizi juga menegaskan, beliau belum membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak, namun tidak menolak kemungkinan untuk terus menjauh dari arena politik.
“Kalau (jawatan) menteri pun saya sanggup lepaskan, apatah lagi sekadar tidak bertanding dalam pilihan raya.
“Sebenarnya saya masih belum buat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada PRU akan datang,” ujarnya.
Tak minat sebarang jawatan dalam parti
Dalam masa sama, beliau seakan memberi isyarat bahawa dirinya tidak berminat untuk kembali merebut sebarang jawatan dalam parti pada masa depan.
Ujar Rafizi, beliau lebih cenderung untuk melangkah ke fasa hidup baharu dan tidak mahu lagi terikat dengan budaya politik yang tidak diyakininya boleh diubah.
Artikel lain: Rafizi Ramli sindir Puad -“Lebih baik fikir amalan & dosa, umur 20 tahun lebih tua dari saya”
Kenyataan ahli parlimen terbabit telah mencetus tanda tanya tentang hala tuju masa depan PKR serta bagaimana parti itu akan mengisi kekosongan peranan penting yang pernah dimainkan beliau.