am@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR, pada pemilihan parti bulan ini.
Beliau berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, namun tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan akan tetap diteruskan dan ketika itu beliau bebas untuk berbicara dalam apa saja perkara.
“Saya sudah bercakap dengan rakan-rakan saya dalam kerajaan, termasuk mereka dari GPS dan Barisan Nasional dan menjamin bahawa pertandingan dalaman ini tidak akan mengganggu pentadbiran.
“Tidak akan ada huru-hara, tidak ada kekacauan dan tiada ancaman kepada kestabilan. Jika kalah, saya akan berundur.
“Saya akan teruskan sebagai Ahli Parlimen biasa. Tanpa beban tanggungjawab menteri, saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranan di Parlimen saya,” katanya pada podcast Yang Bakar Menteri, di sini, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sudah mengesahkan pencalonannya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Beliau akan mencabar Ahli Parlimen Pandan yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang jawatan nombor dua parti itu.
Sementara itu, Rafizi berkata, beliau tiada masalah dalam soal bertanding atau tidak kerana misinya sekarang adalah untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 tidak lama lagi.
“Apa pun keputusannya, peranan yang dipegang sekarang harus diutamakan dan siapa yang kerajaan akan hadapi pada PRU16 kali ini.
“Kalau saya tidak jadi menteri, saya ada banyak masa dan boleh kalahkan Datuk Seri R Ramanan. Saya boleh buat lebih lagi dan tumpu kepada kepada beberapa perkara berbanding ketika menjadi menteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd