Rafizi ucap selamat tinggal, kongsi cabaran jadi menteri buat kali pertama

Rafizi ucap selamat tinggal, kongsi cabaran jadi menteri buat kali pertama

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi pengalaman pertama kali berkhidmat sebagai menteri.

Sepanjang menerajui Kementerian Ekonomi, beliau akui perlu mengetahui ‘selok belok’ kementerian lain kerana skop portfolio digalasnya begitu luas.

Dalam catatan ‘selamat tinggal’ kepada penjawat awam yang banyak membantunya seperti dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau perlu tahu semua bidang termasuklah pertanian, kesihatan, tenaga, tenaga dan pelaksanaan projek.

Beliau juga tidak dapat membayangkan bagaimana seseorang yang pernah menjadi menteri selama beberapa penggal sudah pasti perlu banyak menelaah, berbanding dirinya yang baru pertama kali dilantik dalam Kabinet.

“Kementerian Ekonomi merentasi semua sektor dalam dan luar negara dari ekonomi makro, kewangan, pertanian, perindustrian, pendidikan, kesihatan sehinggalah kepada perpaduan negara.

“Walaupun namanya ‘ekonomi’, fungsi teras Kementerian Ekonomi adalah sebagai agensi pusat yang membangunkan perancangan makro negara dalam semua bidang.

“Hasil dasar makro dalam semua bidang yang digubal ini, kemudian digarap dan diterjemahkan oleh kementerian mengikut sektor.

“Kawal selia Kementerian Ekonomi yang merentasi sektor ini dilaksanakan melalui mekanisme kelulusan peruntukan Belanja Pembangunan.

“Setiap kementerian perlu mengemukakan permohonan perbelanjaan kapital untuk kelulusan Kementerian Ekonomi,” katanya.

Bagi menghargai khidmat penjawat awam kepadanya, Ahli Parlimen Pandan itu terhutang budi termasuk banyak belajar daripada mereka sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota Kabinet.

Katanya kalau penjawat awam kedekut ilmu, tidak beri jawapan betul atau culas memberi jawapan komprehensif, menteri itu tidak akan membina kemahiran diperlukan dalam tempoh singkat.

“Seperti yang saya sebut dalam ucapan terakhir Jumaat lalu, saya tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri dari penjawat awam yang sayangkan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top