EDISI kelapan Kejohanan Ragbi Johor 7s 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila pasukan Singapore Development dan Siamese Cats masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita dalam saingan yang penuh intensiti dan semangat kesukanan.
Dalam aksi final kategori lelaki yang berlangsung sengit, Singapore Development berjaya menundukkan pilihan utama dari Thailand, All For One, sekali gus merangkul gelaran juara.
Pasukan itu membawa pulang trofi kejuaraan serta wang tunai RM5,000 sebagai ganjaran kemenangan.
Bagi kategori wanita pula, Siamese Cats tampil dengan aksi dominan apabila membelasah Singapore Development dengan jaringan besar 57-0, menobatkan diri sebagai juara mutlak dan menerima ganjaran wang tunai RM3,000.
Kejayaan kedua-dua pasukan ini turut diserikan dengan anugerah individu apabila Hidayat Jeffrydin dari Singapore Development dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki.
Phaekhwamdee Salinda dari Siamese Cats pula merangkul gelaran Pemain Terbaik Wanita, atas prestasi konsisten mereka sepanjang kejohanan.

Siamese Cats tampil dengan aksi dominan Kategori Wanita.
Kejohanan edisi kali ini menyaksikan penyertaan 36 pasukan dari dalam dan luar negara, sekali gus menegaskan status Johor 7s sebagai antara kejohanan ragbi tujuh sebelah paling berprestij di Asia Tenggara.
Antara pasukan antarabangsa yang mengambil bahagian dalam kategori lelaki termasuk All For One (Thailand), Brunei Panthers (Brunei), Singapore Development (Singapura), DKI Jakarta (Indonesia)
Sementara kategori wanita pula disertai Siamese Cats (Thailand), Singapore Development Team (Singapura), DKI Jakarta (Indonesia) dan Bunga Raya 7s (Malaysia).
Kejohanan ini turut menjadi platform penting dalam persiapan menjelang Siri Asia 7s dan Sukan SEA 2026, yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Disember depan.
Majlis penutup disempurnakan Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Johor, Hairi Md Shah, bersama barisan tetamu kehormat serta rakan-rakan penaja.
Penganjuran kejohanan ini mendapat kerjasama erat daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Sukan Negeri Johor, dan Perbadanan Stadium Johor, serta tajaan daripada Exsim Development Sdn Bhd, Brightmark Sdn Bhd, Faiz Sports, AST, dan Rugger District.