KUALA LUMPUR: Rahim & Co International Property Consultants bekerjasama dengan firma hartanah antarabangsa, Chestertons Global untuk membuka laluan pengembangan rangkaian perkhidmatan ke peringkat serantau dan global.
Pengumuman kerjasama itu menandakan lembaran baharu perkongsian antara dua pemain utama industri, dengan fokus memperkukuh keupayaan perkhidmatan profesional, perkongsian kepakaran, teknologi serta akses pasaran rentas sempadan.
Pengerusi Eksekutif Rahim & Co International Property Consultants, Tan Sri Datuk (Dr) Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, kerjasama tersebut merupakan hasil proses perbincangan dan perancangan jangka panjang yang mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk direalisasikan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan syarikat tempatan yang telah bertapak hampir 50 tahun terus relevan dan berkembang dalam landskap hartanah yang semakin bersifat global.
“Kami amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan Chestertons. Ini adalah langkah penting dalam komitmen kami untuk memberikan nilai tertinggi kepada klien.
“Dengan menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat, kami menjangkakan lebih banyak peluang baharu dapat diwujudkan dari segi inovasi dan penyelesaian hartanah,” katanya dalam majlis pengumuman kerjasama tersebut di sini, semalam.
Rahim & Co kini beroperasi melalui 23 pejabat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta semua ibu negeri.
Namun, bagi mempercepatkan pertumbuhan seterusnya, pasaran antarabangsa dilihat sebagai medan pengembangan strategik, bermula di rantau ASEAN.
Antara pasaran sasaran awal termasuk Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia, sebelum memperluas capaian ke pasaran global lain dengan sokongan rangkaian Chestertons.
Dalam masa sama, Chestertons akan menggunakan kehadiran kukuh Rahim & Co di Asia Tenggara sebagai pintu masuk memperluas pengaruh dan daya saingnya di rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Chestertons Global, Mohamed Mussa berkata, kerjasama tersebut berasaskan perkongsian sumber, kepakaran dan amalan terbaik operasi antara kedua-dua organisasi.
“Kedua-dua syarikat mempunyai ciri keusahawanan yang kukuh dan rangkaian perkhidmatan yang pelbagai. Kami melihat banyak sinergi yang boleh diwujudkan, termasuk penggunaan teknologi, kepimpinan pemikiran industri serta penambahbaikan aliran kerja bagi meningkatkan kecekapan,” katanya.
Menurut beliau, Rahim & Co akan bertindak sebagai wakil utama di lapangan di Malaysia dan rantau ini berdasarkan reputasi serta rekod prestasinya, manakala kedua-dua pihak akan mempergiat program bengkel dan perkongsian pengetahuan bagi memperkukuh kolaborasi.
“Dari sudut struktur, kerjasama itu berbentuk perkongsian strategik termasuk pegangan saham oleh pihak antarabangsa dalam entiti berkaitan, namun butiran tidak didedahkan.
“Potensi hasil pula dijangka terhasil melalui rujukan pelanggan, kerjasama projek rentas negara serta penerokaan pelbagai segmen hartanah termasuk pembangunan dan dana pelaburan,” katanya.
Kerjasama itu turut meliputi inisiatif kelestarian dan tanggungjawab sosial selaras dengan keperluan piawaian ESG dan permintaan terhadap aset berkualiti tinggi.
Perkembangan itu hadir ketika pasaran hartanah Malaysia menunjukkan trajektori pemulihan dan pematangan, disokong persekitaran mesra perniagaan serta peningkatan infrastruktur fizikal dan digital.
Keadaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pelaburan, pusat data dan industri berteknologi tinggi di rantau ini. – UTUSAN




