Seremban: Terkenal dengan jolokan Cendol Bawah Pokok Pasar Besar Seremban yang diusahakan pasangan suami isteri sejak ia diwarisi enam dekad lalu.
Lebih istimewa, mereka masih mengekalkan rahsia resepi turun temurun termasuk penggunaan tiga jenis gula selain mengekalkan kaedah lama menggunakan penyagat ais.
Mohan T Kadeer Mohaideen, 60, berkata, bapanya mula menjual cendol sebagai sumber pendapatan keluarga pada 1960-an dengan menggunakan basikal.
“Sewaktu zaman kanak-kanak, saya selalu ikut bapa menjual cendol dan waktu itu harganya hanya 20 sen.
“Kemudian sejak 30 tahun lalu, saya mengambil alih kerana ayah sudah tidak kuat dan saya mula berniaga menggunakan kereta tolak,” katanya ketika ditemui.
Dia yang memulakan operasi perniagaan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang berkata, sejak September 2020, dia dan isteri, M Anjaly, 59, mula berniaga menggunakan lori saji.
“Resipi saya gunakan sama seperti diajar ayah iaitu perlu ada campuran tiga jenis gula seperti gula enau, melaka dan merah.
“Saya tidak ubah apa-apa pun kerana mahu mengekalkan rasanya, selain resipi rahsia iaitu isi cendol yang dibuat sendiri,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, perkara itu menjadi faktor pelanggan kepada bapanya kini menjadi pelanggannya pula kerana mereka masih menikmati rasa cendol yang sama.
Tambahnya, dia berniaga setiap hari kecuali pada Selasa dan jualannya mencecah lebih 300 mangkuk atau bungkusan cendol sehari dengan menggunakan tujuh hingga 10 kilogram santan.
Mengulas mengenai konsep menyagat ais menggunakan kaedah tradisional, dia berkata, jika pelanggan tidak ramai, saya menggunakan penyagat kerana lebih selesa berbanding menggunakan mesin pengisar.
Menurut Mohan, kebanyakan pelanggan gemar membeli cendol biasa kerana mereka ingin merasai keaslian cendol tanpa sebarang perisa tambahan lain.
“Ada empat jenis cendol iaitu biasa, kacang, jagung dan campur dijual pada harga RM2.20 hingga RM3.50,” katanya.
Jelasnya lagi, apa yang membuatkan dia gembira apabila pelanggannya terdiri daripada semua kaum dan menjadi satu kebiasaan saling bertegur sapa antara satu sama lain sambil menikmati cendol.
© New Straits Times Press (M) Bhd