Rahsia cantik dari bunga

Rahsia cantik dari bunga

nurul_husna@mediaprima.com.my

Dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia, bunga melambangkan pelbagai perkara dalam budaya ataupun kehidupan seharian.

Masyarakat Jepun umpamanya, sinonim dengan bunga sakura yang mengaitkannya dengan lambang kecantikan dan permulaan baru.

Secara umumnya, masyarakat percaya bahawa bunga adalah simbolik kepada sesuatu yang indah atau melambangkan rasa kasih sayang.

Tidak hairan bunga kerap menjadi pilihan sebagai hadiah atau penghias untuk mencantikkan ruang.

Namun, ada bunga yang bermanfaat untuk perawatan umum, terutama bagi penjagaan diri dan kecantikan.

Malah, sebahagian masyarakat dahulu turut menggunakan bunga sebagai herba dan ramuan untuk merawat wajah selain badan.

Petua tradisional penggunaan bunga itu lebih kepada membantu untuk menenangkan, memberi aroma wangi dan penjagaan ringan.

Amalan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa penggunaan kimia atau bahan yang boleh mengundang kegusaran orang ramai.

Namun, sebelum mengenakan pada kulit, pemakai perlu cakna mengenai alahan selain diguna dalam kuantiti kecil pada pertama kali sebelum menjadikannya rutin penjagaan kecantikan diri.

Berikut beberapa kaedah penggunaan bunga yang boleh diamalkan wanita bagi menjaga kecantikan diri:

1. Rendaman air bunga menjadi amalan masyarakat dahulu sebagai air mandian atau basuhan bahagian pelipat pada tubuh.

Ia memberi kelegaan pada tubuh, menyegarkan kulit selain memberi aroma harum.

Penggunaan bahan juga mudah iaitu biasanya menggabungkan pilihan bunga yang memiliki aroma wangi seperti melur, kenanga, mawar dan cempaka atau lain-lain bersama air suam.

Untuk hasil lebih baik, masukkan minyak pati bunga dan amalkan dengan cara rendaman selama 15 hingga 30 minit pada setiap minggu atau bulan.

2. Lulur badan bunga melur antara amalan masyarakat lalu bagi mendapatkan kulit sehalus kulit bayi.

Malah, wanita yang ingin berkahwin akan mendapatkan rawatan ini untuk memastikan tampil cantik pada hari persandingan.

Penyediaannya mudah iaitu kelopak melur ditumbuk bersama beras yang sudah direndam semalaman.

Kemudian ia digaul bersama madu sebelum dilumur pada badan.

Selepas dilumur, bahan lulur itu dibiarkan sekitar lima hingga 10 minit, seterusnya dibilas dengan air suam.

3. Pupur bunga raya antara pilihan wanita Melayu dahulu untuk perawatan muka dan rambut.

Dikatakan, kandungan vitamin C dan antibakteria dalam bunga raya membantu mencantikkan kulit.

Cara menghasilkan pupur muka berasaskan bunga raya ialah ambil kelopak bunga raya dan kisar bersama dengan air.

Kemudian sapu pada rambut atau muka selama 10 hingga 15 minit.

Bilas dengan air. Bagi hasil yang lebih baik, boleh juga gunakan air sejuk selepas bilasan dengan air suam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top