mahaizura@mediaprima.com.my
DI sebalik keindahan rumah Melayu lama yang tersergam indah, tersembunyi satu rahsia seni bina yang menjadi nadi kepada keutuhan dan jati diri iaitu ‘tanggam’.
Bukan hanya sebagai sambungan kayu, tanggam ialah seni halus yang mengikat tangan tukang dengan warisan leluhur.
Ia sekali gus menzahirkan kecerdikan bangsa Melayu dalam memahami bahasa alam, menimbang kekuatan dan arah serat kayu yang menyulam nilai estetika dalam setiap ukiran dan potongan.
Setiap sambungan bukan sekadar teknik, malah lambang kesabaran, ketelitian dan jiwa seni yang diwarisi turun-temurun.
Berdasarkan catatan sejarah, teknik binaan tanggam ini sudah digunakan sejak sekurang-kurangnya awal abad ke-20 seperti dibuktikan melalui Rumah Kutai di Perak, antara rumah tradisional Melayu tertua pernah direkodkan di Malaysia.
Namun, akar sejarahnya dipercayai jauh lebih awal. Bahkan, jejak seni ini juga merentasi seluruh Nusantara bermula dari Acheh, Indonesia hingga Pattani, Thailand.
Ia sekali gus menunjukkan bagaimana tukang serumpun berkongsi bahasa kayu sama, berpaksikan falsafah keseimbangan, ketelitian dan rasa hormat terhadap alam.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM), Sr Dr Nurshuhada Zainon, seni tanggam berada pada kedudukan istimewa dalam tradisi binaan Melayu kerana falsafah dan pendekatannya yang unik.
Kata beliau, tanggam bukan sekadar struktur, namun menjadi cerminan hubungan rapat antara tukang dengan kayu selain mencerminkan identiti budaya masyarakat yang mengamalkannya.
“Pada asasnya, tanggam ialah sistem sambungan kayu tradisional yang menyatukan dua atau lebih komponen tanpa sebarang paku atau bahan logam.
“Ia berfungsi sebagai sendi utama dalam rangka bangunan bagi memastikan keseluruhan struktur berdiri teguh dan seimbang.
“Keistimewaannya bukan saja pada kekuatannya, tetapi juga keanjalannya, sekali gus menjadikan rumah yang dibina menggunakan tanggam boleh dibuka, dipindahkan dan dipasang semula tanpa menjejaskan keteguhan asal,” katanya.
Beliau berkata, ia membuktikan tukang Melayu sudah lama mengamalkan teknologi modular dan lestari yang serasi dengan iklim tropika memandangkan sifat semula jadi kayu mengembang dan mengecut mengikut perubahan cuaca.
“Asas kepada seni ini ialah memahami sifat kayu. Bagi seorang tukang, kayu bukan bahan mati, tetapi bahan hidup yang mempunyai ‘perangai’ tersendiri.
“Setiap jenis kayu seperti cengal, merbau, balau atau kempas memiliki ketumpatan, arah serat dan ketahanan berbeza yang menentukan jenis tanggam paling sesuai.
“Tukang Melayu terdahulu menilai semua ini bukan melalui ukuran saintifik, tetapi melalui pemerhatian dan pengalaman.
“Contoh, dengan mendengar bunyi kayu ketika diketuk, memerhati cara ia merekah ketika dipotong dan memahami tindak balasnya terhadap panas, lembapan serta perubahan cuaca tropika,” katanya.
Dalam falsafah seni bina Melayu, katanya, cara seseorang tukang memotong, menganggar dan menyambung kayu bukan sahaja menunjukkan kemahirannya, malah jati dirinya.
“Dengan hanya melihat satu sambungan, tukang lain boleh mengenal pasti pembuatnya berdasarkan ketepatan potongan serta kekemasan kerjanya dan cara kayu itu ‘berbicara’.
“Setiap lekuk, sudut dan pasakan menjadi tanda tangan senyap yang menggambarkan keperibadian, pengalaman serta rasa seni si tukang,” katanya.
Beliau turut berkongsi kajian dijalankan UM berjudul ‘Reviving Malaysia’s Wood Construction: Exploring Japan’s Kigumi Tradition for Sustainable Preservation’ dengan sokongan geran ‘Sumitomo International Foundation’.
Katanya, kajian itu mendedahkan perbezaan menarik antara sistem tanggam Melayu dan ‘kigumi’ (sambungan kayu tradisional) Jepun yang berbeza daripada segi pendekatan dan falsafah, namun mempunyai keunikan tersendiri.
“Dalam seni tanggam, ketelitian dan pengalaman tukang memainkan peranan utama. Ukuran serta sudut potongan sering dihasilkan melalui anggaran halus atau ‘agak-agak’, menggunakan sukatan tradisional seperti depa, jengkal dan hasta yang berpaksikan tubuh manusia.
“Kaedah ini lebih organik berbeza dengan kigumi yang lebih menekankan ketepatan geometri melalui pengiraan matematik yang kompleks dan sistematik,” katanya.
Nurshuhada berkata, perbezaan falsafah ini turut terserlah pada pilihan bahan, kaedah sambungan dan cara menzahirkan seni.
“Tukang Jepun terkenal dengan keupayaan menyambung kayu pendek menjadi struktur panjang dan kukuh selain cenderung menyembunyikan seni tanggamnya ini, sekali gus menjadikan sambungan kelihatan lurus dan bersih tanpa hiasan.
“Sebaliknya, tukang Melayu tradisional lebih menghargai penggunaan sebatang kayu panjang tunggal dan mempamerkan seni halus ukiran pada rumah yang menjadikan tanggam bukan sekadar sambungan, tetapi juga medium ekspresi estetika dan kehalusan tangan,” katanya.
Dalam tanggam, kata beliau, penguncian biasanya menggunakan pesak (pasak kayu kecil yang mengikat sambungan) manakala kigumi menggunakan sistem yang mampu mengunci sendiri tanpa bahan tambahan.
“Perbezaan ini bukan semata-mata soal teknik, tetapi mencerminkan falsafah hidup dua masyarakat yang sama-sama menyanjung keseimbangan antara manusia dan alam, namun berbeza pendekatan dalam menzahirkan ketepatan, kesempurnaan dan seni,” katanya.
Pada hakikatnya, menurut beliau, tanggam ialah titik permulaan kepada warisan seni bina Melayu.
“Ia lambang kesinambungan antara tukang, kayu dan budaya. Ia bukan sekadar teknik sambungan, tetapi jiwa kepada keaslian seni bina tradisional yang kini sentiasa diiktiraf di peringkat Nusantara dan Asia.
“Dalam setiap rumah warisan yang masih berdiri teguh hari ini, tanggam menjadi saksi kebijaksanaan tangan silam yang masih berdenyut dalam nadi bangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




