am@hmetro.com.my
Sepang: Anjur program sukan rakyat untuk menarik golongan muda berkunjung ke masjid.
Itu antara pendekatan menarik dilakukan pihak Masjid Al-Khairat, Kampung Olak Lempit di sini, bagi mengimarahkan rumah ibadat berkenaan melalui aktiviti bersama komuniti dan masyarakat.
Pengarah program, Mohamad Azwan Rosli berkata, masjid tidak seharusnya sinonim dengan golongan berusia semata-mata, sebaliknya perlu menarik minat golongan muda.
“Bagi merealisasikan hasrat itu, masjid ini menganjurkan Program Sukan Rakyat sempena sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul baru-baru ini.
“Program kali ke dua dianjurkan itu bertujuan mengumpulkan kariah kampung daripada pelbagai peringkat usia.
Perkara paling penting perlu diberikan perhatian adalah memahami aspirasi atau kehendak sebenar golongan muda,” katanya.
Katanya,selain itu ia juga dapat mewujudkan silaturahim dalam kalangan penduduk dan menarik minat golongan muda hadir ke masjid untuk bersolat secara berjemaah.
“Program ini menjadi salah satu inisiatif menjadikan masjid ke arah yang lebih menerusi riadah berunsurkan keagamaan,” katanya .
Seramai 200 peserta dari pelbagai peringkat menghadiri program ini yang diserikan dengan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan mewarna, gubahan bunga dan sukan rakyat.
Turut hadir Ketua Kampung Olak Lempit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abdul Nasir Jajuli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




