Rahsia sains di sebalik mandian daun bidara

Rahsia sains di sebalik mandian daun bidara

Petaling Jaya: Dalam era di mana produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi semakin mendapat perhatian, amalan tradisional seperti mandian daun bidara turut kembali menjadi pilihan. Ada yang menggunakannya untuk membersihkan tubuh, manakala ada pula yang percaya mandian ini mampu menyegarkan kulit dan memberikan pelbagai manfaat kesihatan. Namun, apakah sebenarnya yang terkandung dalam daun bidara sehingga tumbuhan ini begitu sinonim dengan amalan mandian tradisional? Adakah khasiatnya terbukti secara saintifik atau sekadar kepercayaan yang diwarisi?

Pokok bidara atau Ziziphus mauritiana telah lama digunakan dalam pelbagai amalan tradisional. Bagi tujuan mandian, daunnya lazimnya diramas atau direndam di dalam air sebelum digunakan untuk membasuh tubuh. Walaupun kaedah penyediaannya ringkas, tumbuhan ini mengandungi pelbagai sebatian kimia semula jadi yang menarik perhatian penyelidik.

Antara sebatian yang dikaitkan dengan daun bidara ialah saponin. Menariknya, perkataan saponin berasal daripada bahasa Latin, sapo, yang bermaksud sabun. Sebatian ini mempunyai sifat aktif permukaan, iaitu membantu air berinteraksi dengan minyak dan kotoran. Sesetengah saponin juga mampu menghasilkan buih apabila dicampurkan dengan air. Sifat inilah yang menjadikan tumbuhan yang mengandungi saponin berpotensi digunakan sebagai bahan pencuci semula jadi.

Kajian fitokimia terhadap pokok bidara turut mengenal pasti pelbagai kumpulan sebatian seperti flavonoid, tanin, alkaloid dan terpena. Sebatian ini menarik perhatian kerana potensi aktiviti biologinya, termasuk aktiviti antioksidan dan antimikrob. Malah, kajian terhadap ekstrak daun bidara menunjukkan bahawa tumbuhan ini mempunyai kandungan sebatian yang berpotensi memberikan manfaat tersebut. Namun, perlu difahami bahawa kandungan ekstrak yang dihasilkan di makmal tidak semestinya sama dengan air rendaman daun yang disediakan secara tradisional.

Persoalannya, adakah mandian daun bidara mampu membersihkan kulit sebaik sabun biasa? Dari sudut kimia, kedua-duanya boleh melibatkan prinsip pembersihan yang hampir sama. Sabun dan produk mandian moden menggunakan bahan aktif permukaan untuk membantu menanggalkan minyak, peluh dan kotoran daripada kulit. Perbezaannya terletak pada jenis, kepekatan dan konsistensi bahan pencuci yang digunakan.

Dalam produk mandian moden, formulasi boleh dikawal dan diuji bagi memastikan prestasi pembersihan yang konsisten. Sebaliknya, kandungan bahan aktif dalam air rendaman daun bidara boleh berubah mengikut jumlah daun, suhu air, tempoh rendaman dan cara penyediaan. Oleh itu, walaupun daun bidara mengandungi sebatian yang berpotensi membantu proses pembersihan, belum ada bukti mencukupi untuk menyatakan bahawa mandian tradisional ini lebih berkesan daripada sabun biasa.

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa mandian daun bidara mampu membunuh bakteria dan merawat masalah kulit? Sesetengah kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak bidara mempunyai potensi aktiviti antimikrob. Walau bagaimanapun, keupayaan sesuatu ekstrak menghalang pertumbuhan bakteria dalam makmal tidak bermaksud kesan yang sama akan berlaku apabila air rendaman digunakan pada kulit manusia. Keberkesanannya bergantung pada kepekatan bahan aktif, jenis mikroorganisma dan tempoh sentuhan. Kajian klinikal masih diperlukan sebelum dakwaan rawatan kulit dapat dibuat.

Tambahan pula, kulit manusia mempunyai komuniti mikroorganisma semula jadi yang membantu mengekalkan keseimbangan dan fungsi perlindungannya. Justeru, tujuan mandian harian bukanlah untuk menghapuskan semua bakteria, sebaliknya membersihkan tubuh tanpa mengganggu kesihatan kulit.

Satu lagi salah faham yang sering dikaitkan dengan trend penjagaan diri ialah anggapan bahawa bahan semula jadi semestinya lebih selamat berbanding bahan sintetik. Hakikatnya, semua tumbuhan mengandungi sebatian kimia, termasuk bahan yang berpotensi menyebabkan iritasi atau alahan. Begitu juga, sabun moden tidak semestinya berbahaya hanya kerana mengandungi bahan sintetik. Keselamatan sesuatu produk bergantung pada jenis bahan, kepekatan dan kesesuaiannya dengan kulit.

Ini tidak bermaksud mandian daun bidara perlu ditinggalkan. Amalan tradisional boleh terus dihargai sebagai sebahagian daripada warisan masyarakat. Namun, pengguna perlu memastikan daun yang digunakan bersih dan bebas daripada pencemaran serta menghentikan penggunaannya sekiranya berlaku kegatalan atau kemerahan.

Akhirnya, perkembangan sains membolehkan kita memahami potensi sebenar tumbuhan yang telah lama digunakan secara tradisional. Mandian daun bidara mempunyai asas kimia yang menarik untuk diterokai, tetapi tidak semua dakwaan khasiatnya telah dibuktikan.

Dalam mengikuti trend kembali kepada alam semula jadi, pengguna perlu bijak membezakan antara kepercayaan, potensi saintifik dan manfaat yang benar-benar terbukti. Semula jadi tidak semestinya lebih baik, dan sintetik tidak semestinya lebih buruk. Yang penting ialah keselamatan, keberkesanan dan kesesuaian dengan kulit.

Oleh Dr. Syazreen Nadia Sulaiman dan Dr. Azizul Hakim Lahuri

Penulis pertama merupakan Penyelaras Bahagian Kimia di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi melalui e-mel syazreen@um.edu.my. Penulis kedua merupakan Ketua Jabatan Sains dan Teknologi serta Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak.

Scroll to Top