Rahul jarang jumpa

Rahul jarang jumpa

asyikin.mat@hmetro.com.my

Minatnya terhadap haiwan peliharaan unik membuatkan lelaki ini sentiasa ‘memburu’ haiwan yang dikategorikan sebagai jarang jumpa.

Antara koleksi terbaharu haiwan kesayangannya ialah seekor kambing jantan baka dari Pakistan.

Mohd Redzuan Abdullah Zawawi,40, dari Balik Pulau, Pulau Pinang berkata, dia menamakan kambing kesayangannya Rahul kerana mengikut negara kelahiran kambing berkenaan.

Menurutnya, dia membeli Rahul daripada kenalan di Pulau Mutiara itu pada RM8,000 setahun lalu.

“Harganya memang agak mahal bagi seekor kambing tetapi kerana hobi, saya tidak berkira untuk berbelanja besar.

“Mungkin orang beranggapan Rahul ini hanyalah seekor haiwan biasa tetapi ia adalah salah satu spesies kambing terbesar di dunia.

“Ketinggian mencecah 1.5 meter dengan beratnya 90 kilogram,” katanya.

Katanya, Rahul juga agak jinak, mesra dan boleh bergaul serta makan bersama dengan haiwan lain.

“Walaupun bersaiz besar tetapi Rahul tidak kuat makan. Cara pemakanannya sama seperti kambing tempatan iaitu makan rumput dan dedak.

“Selain itu cara penjagaan Rahul juga mudah kerana lebih tahan lasak dan tidak mudah terkena penyakit kembung perut seperti kelaziman dialami kambing lain.

“Sejak saya pelihara Rahul, haiwan ini belum menghidap penyakit berkenaan,” katanya.

Namun, dia akan memastikan Rahul mendapat suntikan vaksin dari Jabatan Veterinar secara berkala bagi mengelakkan sebarang penyakit.

“Hubungan saya dengan Rahul sangat akrab dan segera datang apabila namanya diseru.

“Setiap hari saya akan meluangkan masa dua hingga tiga jam dengan Rahul termasuk membelainya supaya ‘merasai’ kasih sayang.

“Malah, Rahul juga enggan berenggang dan sentiasa mengekori ke mana saya pergi terutama apabila melakukan kerja di sekitar kandang,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia belum ada perancangan untuk mencari pasangan buat Rahul kerana saiznya badannya agak besar dan tidak sesuai dengan kambing tempatan.

“Saya turut gemar merakam video Rahul dan dikongsi di media sosial sebagai kenangan.

“Namun, ramai yang tertarik dengan Rahul kerana saiz badannya besar dan jika didirikan menggunakan dua kaki, ketinggiannya melepasi ketinggian lelaki dewasa.

“Ada juga rakan-rakan datang ke kandang untuk melihat dan bermesra dengan Rahul.

“Rahul yang mudah mesra, tidak takut dengan orang, walaupun kali pertama berjumpa,” katanya.

Dia menasihati mereka yang mahu memelihara haiwan unik perlu mempunyai minat, ilmu dan penyayang.

“Tiga perkara ini penting supaya haiwan kesayangan anda dapat dijaga dengan baik dan mendapat kasih sayang sepenuhnya.

“Haiwan tidak boleh bercakap, tetapi dengan ikatan yang kuat ini membuatkan pemilik memahami apa yang dimahukan dan kesakitan dialaminya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top