KUALA TERENGGANU – Siapa sangka kacang bulu atau lebih dikenali sebagai edamame yang dikatakan berasal dari Jepun mampu menjadi sumber rezeki lumayan jika diusahakan dengan tekun.
Ia dibuktikan oleh Muhammad Fahmi Ismail, 32, yang kini menjadi satu-satunya pengusaha tanaman itu di atas empat kawasan kebun berkeluasan kira-kira tiga ekar di Kampung Wakaf Mempelam dan Wakaf Che Kapor, di sini.
Menurutnya, tanaman yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran itu mampu dituai dalam tempoh 75 hari, sekali gus memberi pulangan mencukupi untuk menyara isteri dan lima anaknya.

Setiap biji kacang bulu diperiksa bagi memastikan hanya hasil terbaik sampai ke tangan pembeli.
“Permintaan untuk kacang bulu sentiasa ada. Buat masa sekarang, saya membekalkan hasil kepada pelanggan tetap melalui tempahan yang diterima dengan jualan RM15 sekilogram.
“Saya masih belum buka tempahan untuk restoran kerana risau stok tak cukup untuk pelanggan tetap yang sentiasa mengambil bekalan daripada saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Anak ke sembilan daripada 10 beradik yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam itu sebelum ini membantu bapanya, Allahyarham Ismail Bakar yang meninggal dunia pada 2018 akibat sakit darah tinggi.
Menurut Muhammad Fahmi, hasil dorongan ibunya, Embak Mamat, 60, menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha keluarganya itu.
Bermodalkan RM6,000 pada 2016, Fahmi mula mengusahakan kacang bulu secara kecil-kecilan sebelum mengembangkan ladang ke beberapa lokasi lain.
PERNAH RUGI RM90,000
Fahmi berkata, tanaman kacang bulu yang dilakukan di atas tanah terdedah kepada cabaran cuaca tidak menentu serta serangan serangga dan haiwan.
“Untuk tanaman pokok kacang bulu Ini nak kata susah sangat pun tak juga, senang sangat pun tak. Sebab ia perlu sentiasa dijaga, tetapi penjagaannya tidaklah begitu rumit.
“Selepas menuai, tanah akan dibaja secara organik dan benih ditanam semula. Proses ini mengambil masa 90 hari. Untuk satu ekar, saya buat lima peringkat tanaman supaya bekalan sentiasa ada.
“Selain cabaran cuaca hujan dan panas, tanaman ini juga terdedah kepada serangan kumbang perosak tanaman yang bersaiz kecil. Kalau di sini digelar ‘kesing’.
“Biasanya, cara untuk atasi serangan serangga ini dengan menyembur racun serangga organik. Saya akan pastikan pokok yang ditanam dapat dikawal dan tidak berlaku serangan yang menyebabkan pokok mati,” katanya yang kini mempunyai seramai tiga pekerja.
Katanya, dia pernah mengalami kerugian besar sehingga mencecah RM90,000 selepas ladang tanamannya itu musnah akibat banjir.
“Ketika masuk musim tuaian, semua pokok yang ditanam musnah kerana ditenggelami air pada 2019. Waktu tu saya tanam di Lingai, Sungai Ikan dekat Kuala Nerus.
“Sebanyak tiga ekar tanaman saya ditenggelami air dan kerugian mencecah RM90,000 dengan anggaran berat keseluruhan tuaian sebanyak lima tan. Lepas tu, saya buat keputusan tutup tempat itu dan tanam di kawasan Wakaf Mempelam,” ujarnya.

Seorang pekerja membersihkan kacang bulu yang dipetik bagi memastikan kualiti dan kesegarannya sebelum dijual kepada pelanggan.
PERMINTAAN MENINGKAT SELEPAS PROMOSI
Pada peringkat awal, Fahmi berkata, dia hanya mampu mengeluarkan 100 kilogram sehari, namun selepas promosi oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu tahun lalu, pengeluaran mencecah 250 kilogram sehari.
“Kacang bulu ni ada dijual terus di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam, di Jalan Pulau Musang, Kuala Bekah selain dihantar melalui kurier ke beberapa negeri termasuk Pahang dan Perak.
“Cuma Sabah dan Sarawak tidak dapat bekalan segar kerana kita belum ada sistem penyimpanan sejuk beku. Ada juga peminat kacang bulu di sana yang cuba tanam sendiri selepas belajar daripada saya,” jelasnya.
Menurut Muhammad Fahmi, di Terengganu, kacang bulu lebih dikenali dengan hidangan rebus, namun dia percaya lebih banyak lagi variasi masakan boleh dihasilkan.
“Biasanya di Terengganu, kacang bulu direbus dengan garam dan makan begitu sahaja. Bagi penggemar makanan Jepun, kacang ini dikukus sahaja.
“Kalau tengok di media sosial banyak lagi olahan resipi lain yang boleh dihasilkan dengan kacang bulu seperti tumis dan goreng. Semuanya atas minat masing-masing,” katanya.
Muhammad Fahmi aktif mempromosikan hasil tanaman melalui Facebook dan TikTok di menggunakan nama Muhammad Fahmi Pok.
Selain itu, beliau turut merancang untuk menghasilkan produk sejuk beku dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), namun masih menunggu kelulusan dan pembinaan tempat pemprosesan bersih.
“Untuk hasilkan produk sejuk beku ini saya rasa sambutan tinggi juga sebab ramai yang mahukan bekalan kacang bulu yang segar.
“Pasaran kacang bulu ini luas dan sentiasa ada permintaan. Bagi saya, rugi kalau tak teruskan sebab ia mampu menjana pendapatan yang stabil,” katanya.