lizamridzuan@hmetro.com.my
KERIUHAN enjin dan barisan motosikal sejauh mata memandang menjadi saksi kepada satu detik bersejarah dunia permotoran tempatan apabila 850 motosikal Royal Enfield berhimpun serentak, sekali gus mencipta rekod perhimpunan terbesar pernah untuk jenama itu direkodkan di Malaysia.
Peristiwa bersejarah itu berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, lokasi yang sinonim dengan perlumbaan bertaraf dunia namun kali ini ia dipenuhi komuniti penunggang dua roda.
Penunggang dari setiap negeri di Semenanjung Malaysia berkumpul di satu titik, bukan untuk berlumba, tetapi untuk meraikan satu perkongsian bersama iaitu minat mendalam terhadap jentera berjiwa klasik dan semangat persaudaraan tanpa sempadan.
Pemandangan ratusan Royal Enfield memenuhi kawasan litar mencipta visual yang jarang disaksikan, sekali gus melambangkan kekuatan komuniti yang berkembang yang mewarnai landskap industri permotoran negara.
Rekod bersejarah itu diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records, menjadikan perhimpunan ini bukan sekadar acara komuniti, tetapi pencapaian di peringkat nasional.
Menariknya, perhimpunan ini menghimpunkan hampir keseluruhan rangkaian model Royal Enfield, daripada legenda seperti Bullet dan Classic 350, sehinggalah model moden berkapasiti sederhana dan besar termasuk Interceptor 650, Continental GT, Himalayan serta Super Meteor 650.
Ramai peserta sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, membuktikan daya tarikan jenama itu bukan sekadar pada motosikal, tetapi pada ‘sense of belonging’ yang dibina dalam kalangan pemiliknya.
Acara yang dianjurkan Didi Group itu turut menampilkan Parade Ride secara beramai-ramai, memberi peluang kepada penunggang merasai pengalaman bergerak sebagai satu pasukan besar di litar ikonik tersebut.
Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata kejayaan mencipta rekod ini menyerlahkan bagaimana jenama tersebut berjaya menyatukan pemilik daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya di bawah satu matlamat bersama.Beliau menyifatkan tenaga dan suasana di lokasi sebagai luar biasa, sambil menyifatkan usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih tulen dan bermakna kepada komuniti pemilik motosikal tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Royal Enfield, Yadvinder Singh Guleria berkata pengiktirafan ini sebagai bukti kekuatan komuniti penunggang tempatan yang semakin matang dan berpengaruh di peringkat serantau.
Katanya, Royal Enfield akan terus memperkukuh rangkaian serta keupayaan operasi di rantau Asia Pasifik, dengan sokongan rakan strategik termasuk Eicher Motors bagi membina ekosistem penunggang yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




