Raja Charles III tarik balik semua gelaran diraja Putera Andrew

Raja Charles III tarik balik semua gelaran diraja Putera Andrew

London: Raja Charles III menarik balik semua gelaran diraja adiknya, Putera Andrew, selain mengarahkannya keluar dari kediaman mewah Royal Lodge di estet Windsor susulan skandal seks Jeffrey Epstein yang kembali hangat diperkatakan.

Istana Buckingham dalam kenyataan memaklumkan, Andrew kini akan dikenali sebagai Andrew Mountbatten Windsor selepas Raja Charles memulakan proses rasmi menyingkirkan semua gelaran dirajanya.

Beliau turut diarahkan berpindah dari Royal Lodge, tempat yang didiaminya lebih dua dekad bersama bekas isteri, Sarah Ferguson, ke kediaman persendirian lain secepat mungkin.

Keputusan itu dibuat selepas muncul tuduhan baharu terhadap Andrew oleh salah seorang mangsa utama Epstein, walaupun beliau menafikan semua dakwaan.

Istana juga menegaskan tindakan berkenaan perlu diambil meskipun Andrew terus menafikan tuduhan itu, sambil menyatakan simpati kepada semua mangsa penderaan.

Isu berkenaan timbul semula selepas penerbitan memoir Virginia Giuffre yang mendakwa dia diperdagangkan untuk melakukan hubungan seks dengan Andrew ketika masih remaja.

Giuffre meninggal dunia pada April lalu pada usia 41 tahun, manakala Epstein dilaporkan menamatkan hidupnya sendiri pada 2019 ketika menunggu perbicaraan kes pemerdagangan seks.

Dalam pada itu, keluarga Giuffre menyambut baik keputusan Raja Charles, menyifatkannya sebagai kemenangan buat mendiang yang tidak pernah berhenti menuntut keadilan.

Andrew sebelum ini pernah membayar berjuta-juta dolar kepada Giuffre bagi menamatkan kes sivil serangan seksual terhadapnya pada 2022.

Terdahulu, akhbar The Times mendedahkan Andrew hanya membayar sewa minimum untuk Royal Lodge sejak 20 tahun lalu, yang dimiliki oleh Crown Estate.

BBC pula melaporkan Andrew pernah menjemput Epstein, Ghislaine Maxwell dan Harvey Weinstein ke majlis ulang tahun ke-18 anaknya di Royal Lodge pada 2006.

Difahamkan, Andrew akan berpindah ke estet Sandringham milik Raja Charles di Norfolk dan kehidupannya selepas ini akan dibiayai oleh baginda.

Anak perempuannya pula, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie, kekal dengan gelaran diraja mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top