Sepang: Raja Jordan Raja Abdullah II tiba di sini hari ini untuk lawatan negara selama dua hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketibaan baginda dan delegasi dengan menaiki pesawat khas disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.13 malam.
Raja Abdullah II kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Ini lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan negara ini berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1965.
Semasa lawatan, Raja Abdullah II akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, diikuti dengan majlis menghadap Sultan Ibrahim.
Baginda juga akan diraikan dalam satu Majlis Jamuan Negara dan dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia dan Jordan berkongsi hubungan rapat yang telah lama terjalin, terutamanya dalam bidang pendidikan.
Setakat 2026, sebanyak 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat sebanyak 15.2 peratus berbanding 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, perdagangan dua hala terus meningkat 8.0 peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama pada 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd



