Raja Muda Selangor bantu usahawan belia berkembang

Raja Muda Selangor bantu usahawan belia berkembang

bizh-say – Bisnes/Usahawan

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: SAY ASPIRE menjadi program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan khidmat mereka ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Ia adalah kali ketiga program SAY ASPIRE diadakan sejak 2018 yang dianjurkan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi agensi baginda, Selangor Youth Community (SAY) yang berpusat di Shah Alam, Selangor.

Buat julung kalinya, program SAY ASPIRE edisi ketiga itu mendapat kerjasama meluas daripada EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, dan ditaja oleh Sunway Bhd dan Menteri Besar (Diperbadankan) Selangor.

Daripada 72 syarikat yang diterajui belia dan berpangkalan di Selangor, hanya 10 daripada terpilih selepas melalui tiga peringkat penilaian dan pembentangan akhir di program SAY ASPIRE Pitch Finale.

Pembentangan akhir itu dinilai oleh barisan panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan eksport termasuk Tengku Amir Shah; Rodziah, pakar eksport dari Malaysian Exports Academy, Datuk Zakaria Kamarudin; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof.

SAY ASPIRE Pitch Finale menawarkan beberapa ganjaran berimpak tinggi kepada tiga pemenang utama iaitu tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan, bimbingan khas secara individu untuk membantu usahawan merealisasikan impian eksport, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang berkaitan, trofi dan sijil, serta penginapan dua hari satu malam di St Regis Langkawi kepada pemenang utama.

Selain daripada program eksport, Raja Muda Selangor juga menganjurkan beberapa program berimpak tinggi kepada usahawan belia melalui inisiatif Entrepreneurship Selangor di bawah SAY.

Menurut SAY, inisiatif itu diwujudkan bertujuan untuk menghubungkan usahawan dan agensi di Selangor kepada peluang perniagaan dan akses bantuan perniagaan, termasuk kursus bimbingan dan latihan perniagaan yang berterusan.

“Platform ini juga bertujuan untuk mengumpulkan usahawan dari seluruh Selangor dan mewujudkan sebuah ekosistem komuniti usahawan yang saling bekerjasama dalam agenda pembangunan usahawan Selangor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top