Raja Perlis titah MB pimpin negeri hingga akhir penggal -“Kerajaan ini adalah Kerajaan Beta”

Raja Perlis titah MB pimpin negeri hingga akhir penggal -“Kerajaan ini adalah Kerajaan Beta”

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah diberi ruang untuk terus memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 tanpa sebarang gangguan yang boleh menjejaskan agenda pembangunan negeri.

Titah ucapan sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 itu dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kompleks Seri Putra, hari ini.

Titah semua ADUN tepikan ego masing-masing

Memetik laporan daripada Buletin TV3, dalam titah baginda telah menegaskan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mengenepikan ego masing-masing serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Beta ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa Kerajaan ini adalah Kerajaan Beta.
Justeru, Beta berharap agar Memanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” menurut titah itu.

Kestabilan politik faktor penting pengaruhi pelabur

Baginda turut menegaskan kestabilan politik adalah antara faktor penting yang mempengaruhi keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri itu.

Sehubungan itu, semua wakil rakyat diseru menjadikan sidang DUN sebagai platform terbaik untuk mengemukakan idea baharu dan konstruktif, bukannya medan pertelagahan politik.

Dalam titah sama, Raja Perlis turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM359.58 juta bagi Belanjawan Negeri 2026 merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” menurut titah itu.

Baginda juga menyambut baik usaha kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Peneraju Perlis Progresif 2030 (PENERAJU) bagi memperkukuh ekosistem pelaburan dan menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

Pada masa sama, baginda menyeru kerajaan negeri supaya terus mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan tanpa dipengaruhi perbezaan fahaman politik.

Titah itu turut menyentuh cabaran ekonomi global susulan konflik di Timur Tengah yang dijangka memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat termasuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, rakyat diseru mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Sumber: Buletin TV3 (Amira Suraini Che Mohamad)

Scroll to Top