am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Kelakuan pelik seorang penyelia kilang merakam ‘aksi’ seorang lelaki sedang melepaskan ‘hajat’ dalam tandas kompleks beli-belah mengundang padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Na Yeow Sing, 31, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dikemukakan kepadanya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan dengan merakam lelaki berusia 32 tahun menggunakan telefon bimbit ketika sedang membuang air tanpa pengetahuannya.
Perbuatan itu dilakukan di dalam tandas sebuah kompleks beli-belah di Taman Flora Utama di sini, jam 5.15 petang, 11 Mac lalu.
Menurut fakta kes, ketika kejadian mangsa menyedari perbuatan tertuduh sebelum bertindak mengejar dan berjaya menangkapnya.
Pada jam 6 petang hari sama, sepasukan polis datang ke lokasi dan mangsa menyerahkan tertuduh untuk tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh mendapati terdapat satu rakaman video memaparkan mangsa membuang air.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




