Rakaman audio boleh dianggap sebagai dokumen -Gopal Sri Ram

Rakaman audio boleh dianggap sebagai dokumen -Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menyatakan berdasarkan undang-undang lazim sesuatu rakaman audio boleh dianggap sebagai suatu dokumen.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, penerimaan rakaman audio juga lama diguna pakai dalam ‘privy council’.

“Apa yang penting dalam permohonan pendakwaan ialah bukan untuk memasukkan rakaman tersebut, tetapi, isi kandungan rakaman yang akan digunakan untuk menyangkal pembelaan tertuduh yang selama ini mendakwa bahawa wang yang diterima adalah derma Arab,” katanya.

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan bahawa rakaman yang dikatakan berlaku di antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seorang individu yang dipanggil `Your Excellency’ (Yang Mulia) tidak boleh dianggap sebagai dokumen.

Ini kerana, ujar Muhammad Shafee, dokumen merupakan sesuatu yang boleh dipegang dan dibaca.

Selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memberitahu, beliau akan membuat keputusan sebelum bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dipanggil untuk menyambung keterangannya di mahkamah.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memohon untuk memasukkan beberapa rakaman audio yang merupakan sebahagian daripada rakaman-rakaman audio yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada 8 Januari 2020.

Dua rakaman audio tersebut sempat dimainkan di mahkamah sebelum ini, sewaktu Mohd. Irwan Serigar memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-42 dan menyatakan salah seorang individu dalam rakaman itu ‘kedengaran seperti (suara) Najib’.

Pihak pembelaan ketika membantah permohonan tersebut menghujahkan sekiranya beberapa rakaman audio termasuk perbualan di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seseorang yang dipanggi ‘Yang Mulia’ (Your Highness) boleh menjejaskan hak bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Tindakan itu juga secara tidak langsung melanggar hak privasi bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan tersebut dibuat dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding bersambung esok.-UTUSAN