zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) sudah tampil untuk membantu siasatan berhubung nahas bas tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Lebuhraya Jeli-Gerik, di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin berkata, kenyataan daripada pemilik ‘dashcam’ itu akan diambil dalam masa terdekat memandangkan rakaman tular itu dijangka menjadi bukti penting dalam menentukan punca sebenar kemalangan.
“Ya, setakat ini rakaman ‘dashcam’ telah diserahkan. Kami serahkan kepada pegawai penyiasat untuk meneliti rakaman tersebut dan kenyataan daripada pemilik akan diambil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini.
Beliau menambah, rakaman tersebut boleh membantu menjelaskan beberapa perkara penting termasuk kelajuan bas dan keadaan jalan semasa kejadian.
“Setakat ini hanya rakaman dashcam yang kita ada.
“Rakaman itu jelas menunjukkan bagaimana bas tersebut dipandu laju, dan lebih memburukkan keadaan, penghadang jalan menembusi badan bas dari bahagian depan.
“Itulah sebabnya penumpang di sebelah kiri bas adalah antara yang maut, kerana penghadang terus menusuk ke tempat duduk penumpang.
“Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami kecederaan di bahu kiri selepas tercampak dari bahagian kanan ke kiri apabila bas terbalik,” katanya.
Dalam rakaman video berdurasi 38 saat yang tular itu, bas dilihat dipandu laju dan cuba memotong sebuah kereta sebelum ia terbalik dan melanggar bahagian belakang Perodua Alza.
Apabila ditanya mengenai dakwaan beberapa mangsa yang terselamat bahawa bas dipandu laju dan terdapat bau hangit, Noor Hisam berkata, polis juga akan mengambil kenyataan mereka.
“Kami ada maklumat itu, tetapi saya tidak boleh dedahkan di sini kerana ia boleh menjejaskan siasatan. Kami akan ambil semua kenyataan mereka kemudian,” katanya.
Noor Hisam turut memaklumkan bahawa beliau sendiri telah melawat lokasi kejadian dan berdasarkan pemerhatiannya, jalan di situ sememangnya curam dan kejadian berlaku sekitar tengah malam selepas hujan, dengan keadaan jalan yang gelap dan sukar dilihat.
“Berdasarkan pemerhatian awal saya, tiada garisan jalan yang kelihatan dan kawasan itu sangat gelap tanpa sebarang penanda.
“Kami masih menyiasat sama ada punca kemalangan adalah akibat kecuaian manusia atau masalah teknikal. Semua sudut akan diteliti kerana ini adalah kemalangan yang sangat serius.
“Bas terbalik dan melanggar penghadang jalan. Nasib baik ia tidak menembusi penghadang sepenuhnya kerana di sebelah sana ada gaung.
“Kebanyakan mangsa ditemui pasukan penyelamat berada di dalam longkang bersebelahan penghadang. Mereka yang terselamat berjaya keluar merangkak dari bangkai bas, manakala yang maut kebanyakannya masih berada di dalam bas,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa 15 pelajar terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Jalan Raya Timur Barat) awal pagi ini.
Bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama universiti tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd