Isu salah faham antara penyanyi Liza Hanim dan Ameng Spring akhirnya menemui titik damai apabila kedua-dua pihak memilih untuk menyelesaikannya secara baik.
Perkembangan itu dikongsikan oleh isteri Ameng, Sabariah Zakariah menerusi Instagram petang semalam, sekali gus mengundang reaksi positif dalam kalangan rakan artis dan peminat.
Menurut Sabariah, kemelut yang berlaku sebelum ini disifatkan sudah selesai selepas Liza sendiri menghubungi mereka bagi memohon maaf.

“Pada petang Jumaat yang penuh keberkatan ini, salah faham yang berlaku antara Liza dan suami saya sudah pun diselesaikan dengan cara yang baik.
“Liza juga ada menghubungi kami secara peribadi untuk memohon maaf dan kami sangat menghargai keikhlasan itu,” tulisnya.
Tambahnya lagi, keadaan kembali tenang selepas penjelasan diberikan dan mereka memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.
“Selepas pertemuan dan penjelasan dibuat, semuanya kembali okay. Bagi saya, Ameng hanya mempertahankan diri daripada salah faham yang timbul.
“Apa saja tanggapan orang, biarlah. Kami tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu perkara ini berpanjangan. Yang penting, tiada lagi isu atau dendam antara kami,” jelasnya.
Sabariah turut menitipkan doa buat Liza dan keluarga agar terus dilimpahi kebahagiaan serta kesejahteraan.
“Kami doakan semoga Liza sekeluarga sentiasa dilindungi, diberikan rezeki yang luas dan kesihatan yang baik. Harapan kami, biarlah perkara ini berhenti di sini,” katanya lagi.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian ramai apabila rakan-rakan artis turut meninggalkan komen positif dan menyokong tindakan matang kedua-dua pihak.


Pelakon Kamal Adli memuji cara mereka menangani situasi tersebut.
“Cara korang berbincang memang simple tapi matang. Ini contoh yang baik untuk kami ikut,” tulisnya.
Pelawak Shuib pula menyifatkan tindakan saling memaafkan itu sebagai sesuatu yang wajar dicontohi.
“Alhamdulillah, seronok tengok abang dan kakak tunjuk contoh yang baik. Saling memaafkan, memang respect,” katanya.
Selain itu, ramai lagi rakan artis seperti Syura Badron, Liza Abdullah, Imran Ajmain, Haiza, Amir Raja Lawak, Fedtri Yahya dan Jihan Muse turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan syukur serta tanda sokongan.
Tindakan memilih jalan damai tanpa memanjangkan konflik itu dilihat sebagai contoh positif, sekali gus meredakan spekulasi yang sebelum ini hangat diperkatakan.




