am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sepatutnya, kelmarin (4 September 2025) kami, kumpulan kedua Global Sumud Flotilla (GSF) yang berpangkalan di Catania, Itali sudah mula berlayar ke Gaza.
Begitupun, Allah SWT pastinya mempunyai perancangan lebih baik kerana pelayaran kami ditangguh. Tarikh baru tidak rasmi ialah pada 7 September 2025.
Ini menjadikan tempoh latihan persiapan kami lebih lama. Asalnya cuma tiga hari tapi kini sudah jadi enam hari.
Hikmahnya, hubungan di antara kami sesama peserta semakin mesra dan ada beberapa kisah menarik sebahagian daripada mereka yang dapat saya cungkil.
Berikut kisah insan-insan hebat itu. Tapi, maaf gambar kebanyakan mereka tidak dapat dikongsikan bagi mengelakkan mereka berdepan musibah apabila pulang ke negara masing-masing.
1. Madam Guldens, 55 (Turkiye)
Beliau antara sukarelawan yang berada di atas kapal flotilla Mavi Marvara pada 2010 yang berakhir dengan tragedi. Sepuluh sukarelawan dari Turkiye mati ditembak oleh komando Israel.
Serangan itu berlaku di depan mata Guldens dan mereka yang terkorban adalah rakan-rakannya. Tapi dia tidak serik. Hari ini, dia tampil lagi untuk menyertai GSF.
“Saya tak akan berhenti berjuang untuk Palestin selagi tubuh masih sihat,” katanya.
2. Roberto, 86 (Itali)
Peserta paling tua dalam kalangan kami. Ini kali kedua dia menyertai flotilla kemanusiaan ke Gaza dan tetap bersemangat tinggi.
Ditanya mampukah dia berdepan cabaran berhari-hari meredah lautan dengan ombak bergelora, dia hanya tersenyum dan berkata itu bukan masalah besar.
“Masalah besar di Gaza. Ayuh kita tolong mereka,” katanya.
3. Judith, 18 (Jerman)
Gadis ini peserta paling muda. Dia sedang menunggu keputusan peperiksaan (seperti Sijil Pelajaran Malaysia).
Judith sering mengikuti demonstrasi jalanan di negaranya bagi menzahirkan sokong kepada Palestin dan beberapa kali dipukul polis.
“Saya amat seronok apabila terpilih menjadi sukarelawan GSF. Semoga kita dapat sampai ke Gaza,” katanya.
4. Zainab, 30 (Switzerland)
Berasal dari Turkiye tapi berhijrah ke Switzerland. Palestin sentiasa dekat di hatinya.
Setiap kali ada demonstrasi jalanan menyokong Palestin di segenap penjuru Eropah di situlah ada Zainab.
“Tapi saya kecewa kerana demonstrasi jalanan tidak memberi hasil yang saya harapkan. Banyak pemimpin negara Eropah masih tidak menyokong Palestin.
“Melalui GSF, saya percaya solidariti rakyat dari 44 negara dengan puluhan kapal bergerak ke Gaza, mampu memberi impak besar,” katanya.
5. Melanie, 55 (Itali)
Beberapa kali menghantar borang untuk menyertai GSF namun tidak diterima kerana dia hanya suri rumah yang tiada kepakaran khusus.
Namun dia tidak berputus asa, sebaliknya tetap datang pada hari pendaftaran dan merayu untuk mengikuti latihan persiapan.
Melihat kesungguhannya itu, petugas memberi kebenaran namun menegaskan tiada jaminan dia akan menaiki bot ke Gaza kelak.
“Tapi saya yakin mereka akan benarkan kerana saya sudah ikuti siri latihan persiapan. Secara teknikalnya saya sudah layak menjadi peserta GSF,” katanya.
6. Ustaz Mad Kechik, 32 (Malaysia)
Mudir madrasah berasal dari Kuala Berang, Terengganu ini menjadi perhatian ramai kerana susuk tubuhnya yang kerdil dengan ketinggian sekitar cuma 100 sentimeter (sm).
Di sebalik kekurangan itu, Ustaz Mad atau nama sebenarnya Muhammad Abdullah sedikitpun tidak gentar dalam menghadapi cabaran getir belayar ke Gaza dan kemungkinan ditahan pihak berkuasa Israel.
“Saiz tubuh tidak pernah menjadi penghalang untuk saya melakukan sesuatu. Alhamdulillah Allah pilih saya menyertai GSF.
“Niat saya nak tolong orang Palestin. Itu saja, sebab saya sudah tak tahan melihat mereka dibunuh beramai-ramai oleh Israel dan ramai juga yang mati kebuluran.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd