Rakan sinergi ada kepakaran TVET digalakkan kolaborasi dengan KPM

Rakan sinergi ada kepakaran TVET digalakkan kolaborasi dengan KPM

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) yakin kolaborasi bersama lebih ramai rakan sinergi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara pada masa depan.

Kerjasama itu khususnya dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan Seni dan Matematik (STEAM), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurutnya, kepakaran rakan sinergi dari sudut STEM, TVET amat digalakkan untuk memastikan program yang dilaksanakan KPM selaras dengan hala tuju Kurikulum Persekolahan 2027.

“Kita telah melaksanakan dasar pendidikan digital berkonsepkan kelas masa depan yang sedikit sebanyak memerlukan pelaburan dan penyertaan daripada rakan-rakan berkepentingan.

Fadhlina melihat demonstrasi Program Rintis Steam dan Makmal Steam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng di Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, diharapkan lebih banyak syarikat korporat yang mempunyai kepakaran dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matimatik) dan TVET supaya memohon kepada KPM untuk menjadi rakan sinergi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis STEAM dan Makmal STEAM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Myren Network Sdn. Bhd Mohd Nasrul Khairi.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, makmal bersifat interaktif  menggunakan teknologi digital membabitkan penyertaan pelajar adalah usaha baik dalam memastikan agenda pendidikan digital KPM mencapai matlamatnya.

“Malah inisiatif mewujudkan makmal STEAM itu menjadi antara perkara yang diangkat pihak KPM.

“Selain itu, guru-guru terlibat akan diberikan kursus supaya pembelajaran berteraskan digital ini dapat disampaikan secara berkesan kepada pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette