Rakyat Dapat RM100, RON95 Turun, Tol Tak Naik, Elektrik Turun – Semua Berlaku Tahun Ini

Rakyat Dapat RM100, RON95 Turun, Tol Tak Naik, Elektrik Turun – Semua Berlaku Tahun Ini

Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan beberapa ikhtiar segera bagi meredakan kos sara hidup rakyat antaranya pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat, penurunan harga RON95, jaminan tiada kenaikan bil elektrik, peluasan Jualan Rahmah dan penangguhan kenaikan tol.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 sekali bayar melalui MyKad di bawah program SARA yang akan diagih sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Katanya, bantuan itu diberikan secara individu dan bukan berdasarkan isi rumah yang bakal memanfaatkan 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara,” katanya dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter sebelum akhir September yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Katanya, harga itu hanya layak dinikmati warganegara menggunakan MyKad manakala warga dan kenderaan asing perlu membayar harga semasa.

“Ini penurunan yang agak tinggi melibatkan kos kepada pemerintah. Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan tiada kenaikan bil elektrik untuk rakyat walaupun pelarasan tarif elektrik bermula Julai 2025.

Tegas beliau, sebanyak 85 peratus pengguna domestik akan menikmati penurunan bil elektrik dengan kadar penurunan sehingga 14 peratus.

“Maknanya ada penurunan sehingga 14 peratus tidak seperti mana yang segelintir fitnah di luar… cukai, tarif itu naik tetapi kos rendah, maknanya bil elektrik rendah.

“Jadi tengok akhir bulan ini, tengok bil elektrik masing-masing… kalau nak mengeluh masa itu dan jangan umpamanya mengandaikan kenaikan. Tiada kenaikan,” katanya.

Turut diumumkan Perdana Menteri ialah peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta yang diumumkan sebelum ini.

Jelas beliau, peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Maka, peruntukan awal RM300 juta akan ditambah RM300 juta lagi dan peruntukan ini memastikan kekerapan dan perluasan lokasi ke setiap DUN 600. Jualan Rahmah akan diadakan di setiap DUN sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini.

Antara lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun pelarasan kadar tol sepatutnya berlaku mengikut perjanjian konsesi.

“Susulan penangguhan ini, kerajaan akan menanggung kos melebihi RM500 juta,” kata Anwar.

Bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan negara ini, Perdana Menteri mengumumkan 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Katanya, ia juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.

“Ini mudah-mudahan dapat meningkatkan ukhwah, perpaduan dan mengingatkan kita kehebatan pemuka bangsa dalam mengusulkan pembentukan Malaysia negara tercinta,” jelasnya.


Scroll to Top