Rakyat digesa jimat guna bahan api! Malaysia kini berada dalam mod krisis – Anthony Loke

Rakyat digesa jimat guna bahan api! Malaysia kini berada dalam mod krisis – Anthony Loke

Malaysia kini berada dalam mod krisis susulan konflik di Asia Barat yang semakin memuncak, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata Kabinet telah dimaklumkan mengenai situasi yang semakin meruncing, sambil menekankan keseriusan keadaan apabila kos tenaga meningkat lebih 100 peratus sepanjang bulan lalu.

“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya, hari ini.

Tegasnya, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan keadaan ini dan digesa mengamalkan langkah penjimatan bahan api bagi mengurangkan kesan gangguan sekiranya konflik berterusan.

Menurut beliau, beberapa negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam sudah menghadapi situasi kecemasan tenaga, termasuk beratur untuk mendapatkan bahan api.

“Syukurlah keadaan ini belum berlaku di negara kita. Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana lambat laun, kita akan merasai kesannya,” tambahnya.

Beliau menekankan perlunya tabiat penjimatan di peringkat individu dan korporat, termasuk merancang perjalanan dengan lebih efisien, menggunakan pengangkutan awam, berkongsi kenderaan dan mengurangkan pembaziran sumber.

Loke turut memberi amaran bahawa walaupun bekalan bahan api masih stabil buat masa ini, ketidaktentuan tetap wujud dalam beberapa bulan akan datang.

“Bekalan semasa kita dijangka tidak terganggu sehingga Mei.
“Tetapi jika perang berlanjutan, kita tidak dapat menjamin bekalan tidak akan terjejas. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua,” katanya.

Ujarnya lagi, situasi ini juga menjadi peringatan untuk rakyat mengamalkan gaya hidup lebih lestari, termasuk mengurangkan pembaziran makanan.

“Pembaziran makanan adalah isu besar di negara ini. Ia bukan sahaja membazir kos makanan, tetapi juga kos pengurusan sisa,” kata Loke.

Artikel lain: Kerajaan pandang serius! Takkan kompromi terhadap pemandu mabuk- Anthony Loke

Konflik di Asia Barat memuncak pada 28 Februari susulan serangan ketenteraan berskala besar oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas beberapa lokasi di Iran, yang mencetuskan sekatan terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan tenaga global dan laluan perkapalan.

Sumber: BH Online (Ahmad Mukhsein Mukhtar dan Izrina Azrin)

Scroll to Top