Rakyat Israel panik, gambarkan serangan peluru berpandu Iran seperti gempa bumi

Rakyat Israel panik, gambarkan serangan peluru berpandu Iran seperti gempa bumi

RAMAT GAN – Jalan utama di Bursa, daerah pertukaran berlian di Ramat Gan yang terletak bersebelahan Tel Aviv, diselubungi debu dan asap tebal pada pagi Khamis selepas sebuah peluru berpandu dari Iran tepat mengenai kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat terpaksa meredah serpihan kaca, runtuhan, dan bangunan kediaman yang rosak teruk akibat hentaman langsung pada jam 7 pagi.

Seluruh bahagian hadapan bangunan terlibat terbuka luas, menampakkan ruang lobi dan beberapa pangsapuri di tingkat bawah yang musnah. Kesan letupan turut memecahkan tingkap bangunan berhampiran.

Pasukan kecemasan yang memakai jaket oren dan hijau dilihat bergerak dari rumah ke rumah bagi mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap.

Penduduk Israel panik ketika peluru berpandu Iran menghentam kawasan Ramat Gan, berhampiran Tel Aviv, pada 19 Jun 2025. Foto AFP

Penduduk Israel panik ketika peluru berpandu Iran menghentam kawasan Ramat Gan, berhampiran Tel Aviv, pada 19 Jun 2025. Foto AFP

“Kami dengar dentuman kuat. Bangunan ini bergoncang seperti dilanda gempa bumi. Semua tingkap pecah dan kerosakan besar berlaku di bangunan kami serta kawasan sekitar,” kata Hanni Adiv, 66, penduduk tempatan.

Letupan tersebut merupakan sebahagian daripada serangan kira-kira 30 peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran ke arah wilayah tengah dan selatan Israel pada pagi Khamis, termasuk satu hentaman langsung ke Hospital Pusat Soroka di Beersheba.

Walaupun ini bukan kali pertama Ramat Gan menjadi sasaran sejak Iran memulakan kempen peluru berpandu balistik minggu lalu, bandar yang padat dengan penduduk, pejabat dan premis perniagaan itu kini mengalami kemusnahan besar.

Seorang pegawai Majlis Bandar Raya memaklumkan sekurang-kurangnya lima hingga enam bangunan mengalami kerosakan dalam serangan hari berkenaan sahaja.

Gambar dari udara menunjukkan beberapa bangunan yang rosak akibat serangan peluru berpandu dari Iran di bandar Ramat Gan, berhampiran Tel Aviv, Israel. Foto AFP

Gambar dari udara menunjukkan beberapa bangunan yang rosak akibat serangan peluru berpandu dari Iran di bandar Ramat Gan, berhampiran Tel Aviv, Israel. Foto AFP

Gelombang serangan terkini dari Iran jauh lebih panjang dan merosakkan berbanding serangan yang pernah berlaku pada April dan Oktober 2024. 

Meskipun banyak peluru berpandu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel dan sekutunya, puluhan lagi berjaya menembusi dan menghentam bandar utama.

Ramat Gan kini diklasifikasikan antara kawasan paling terjejas berdekatan Tel Aviv.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang wanita dikenali sebagai Etti Cohen Engel turut disahkan antara tiga mangsa yang terkorban.

Letupan pada Khamis berlaku di kawasan komersial utama yang sesak ketika waktu puncak, dipenuhi menara pejabat dan kafe.

“Saya sampai di Stesen Hashalom, Tel Aviv ketika ia berlaku. Kami diberitahu ia mungkin gempa bumi kerana bunyinya terlalu kuat,” kata Sapir, seorang pekerja di kawasan tersebut.

Hanni Adiv turut berkongsi bahawa beliau dan jiran-jiran telah melalui tujuh malam yang mencemaskan.

“Kami tidak boleh tidur, tidak boleh berfungsi seperti biasa. Kami hanya duduk dan tunggu berita siapa pula yang menjadi mangsa,” ujarnya.

Menurutnya, ruang perlindungan di bangunannya juga sesak dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

“Ada yang bawa tilam, tapi siapa boleh tidur dalam keadaan begitu?” katanya.

Hanni dan suaminya yang memiliki sebuah kedai pakaian, masih belum membuka perniagaan sejak konflik tercetus.

“Sejak serangan pertama, hidup kami terhenti. Tiada pelanggan, tiada makna untuk buka kedai,” ujarnya.

Scroll to Top