yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang bermastautin atau mahu berkunjung ke Jakarta, Indonesia atas urusan pelancongan, perniagaan dan sebagainya dinasihatkan supaya menghindari lokasi demonstrasi yang berlaku di republik berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi kenyataan berkata, mereka juga dinasihatkan untuk tidak membabitkan diri dalam apa-apa bentuk tindakan yang menyalahi undang-undang tempatan Indonesia.
“Warga Malaysia bermastautin di Jakarta dan rakyat yang berkunjung untuk apa-apa urusan supaya sentiasa memantau perkembangan terkini lokasi aktiviti demonstrasi melalui pengumuman pihak berkuasa atau media tempatan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga memantau perkembangan terkini susulan beberapa siri demonstrasi di Senayan bermula pada 25 Ogos lalu, dan mempengaruhi aliran pergerakan trafik dengan penutupan beberapa lokasi, terutama di Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat,” katanya semalam.
Bagi bantuan konsular, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036.
Rentetan demonstrasi berskala besar itu,Presiden Prabowo Subianto dilapor akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti politik di Istana Negara hari ini, namun agenda pertemuan masih belum didedahkan.
Memetik laporan media antarabangsa, Prabowo membatalkan lawatan rasmi ke China susulan gelombang demonstrasi yang merebak ke luar Jakarta, termasuk kes bangunan Parlimen negeri dibakar.
Beliau memilih kekal di tanah air bagi memantau krisis semasa dan mencari penyelesaian, serta mempertimbangkan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York pada September.
Media antarabangsa semalam, turut melaporkan sekurang-kurangnya tiga maut, manakala lima lagi cedera dalam kebakaran yang tercetus semasa protes ganas di Makassar susulan kematian seorang pemandu teksi motosikal dilanggar kenderaan polis taktikal, minggu ini.
Insiden bermula apabila penunjuk perasaan membakar bangunan dewan perwakilan tempatan di Sulawesi Selatan, menyebabkan dua kakitangan majlis dan seorang penjawat awam terperangkap dalam api marak.
Dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Protes tercetus di seluruh Indonesia, termasuk Jakarta, selepas rakaman video menunjukkan Affan Kurniawan, seorang pemandu gig, dilanggar dan digilis kenderaan polis semasa demonstrasi menuntut gaji lebih adil dan menentang keistimewaan mewah wakil rakyat.
Di ibu negara, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob, yang didakwa menyebabkan kematian Kurniawan.
Mereka melemparkan mercun dan cuba merempuh pagar bangunan, memaksa polis bertindak balas dengan gas pemedih mata.
Setakat ini, tujuh anggota polis ditahan untuk siasatan, manakala lebih 600 penunjuk perasaan dilapor ditangkap di seluruh republik berkenaan.
Protes itu menjadi ujian terbesar kepada pentadbiran Prabowo sejak dilantik ke jawatan itu, sepuluh bulan lalu.
Keadaan di beberapa bandar utama masih tegang dengan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu dan beberapa bangunan kerajaan rosak teruk akibat rusuhan.
Pihak berkuasa menyeru orang ramai agar bertenang dan mengelakkan keganasan demi kestabilan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




