Rakyat Malaysia hilang di Nepal: MASFIH jumpa PM, kemuka sembilan cadangan

Rakyat Malaysia hilang di Nepal: MASFIH jumpa PM, kemuka sembilan cadangan

Kuala Lumpur: Kumpulan sokongan waris mangsa tragedi Nepal, Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH) mengemukakan sembilan cadangan utama untuk tindakan kerajaan bagi menangani cabaran kemanusiaan, perundangan, kewangan dan diplomatik dihadapi keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang susulan bencana banjir di Nepal-Tibet, 26 Ogos lalu.

Antara keutamaan itu ialah mewujudkan mekanisme tindak balas nasional yang diselaraskan, mendapatkan penjelasan segera dari segi undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara, membangunkan kerangka perundangan bagi kes kehilangan beramai-ramai di luar negara yang bersifat luar biasa serta mendapatkan pengesahan rasmi mengenai status individu hilang.

Jurucakap MASFIH Dr R Manivannan berkata cadangan itu dikemukakan pada pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, berserta dokumen setebal 29 halaman yang menggariskan langkah-langkah intervensi yang disarankan, keutamaan pelaksanaan serta tindakan kerajaan secara bersepadu bagi menangani kebimbangan keluarga yang terlibat.

“MASFIH merakamkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri berhubungan kebimbangan itu serta peluang yang diberikan untuk menyuarakan keperluan mendesak keluarga yang terkesan.

“Kami berharap pertemuan ini dapat menghasilkan tindakan kerajaan yang lebih selaras, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta langkah konkrit bagi membantu semua keluarga yang terjejas,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Manivannan berkata Anwar akan membincangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat ini, termasuk berkaitan pelantikan seorang menteri untuk menyelaraskan tindakan kerajaan berhubung isu terbabit.

Beliau berkata MASFIH turut memohon surat pengesahan rasmi yang menyatakan ahli keluarga mereka berstatus hilang dan bukannya sekadar gagal dihubungi, bagi membolehkan keluarga terjejas memohon moratorium bagi komitmen kewangan mereka.

Sebanyak 54 rakyat Malaysia masih hilang dan nasib mereka belum diketahui.

Keluarga mereka terus menaruh harapan agar insan tersayang kembali dengan selamat, di samping berusaha mendapatkan maklumat yang sahih serta bantuan untuk menangani kesukaran kewangan, perundangan dan pentadbiran akibat ketidakpastian yang berlarutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top