asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang hilang di Nepal tidak boleh dianggap automatik sudah meninggal dunia, walaupun genap sebulan masih tidak dijumpai.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, dari sudut hukum syarak, mereka dalam kategori al-mafqud, iaitu seseorang yang hilang, terputus khabar dan tidak diketahui secara pasti sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Katanya, justeru kaedah perlu dipegang ialah “keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”
“Asalnya mereka diketahui masih hidup, maka status itu tidak boleh diubah kepada kematian hanya berdasarkan andaian, selagi belum ada bukti kukuh atau pengesahan pihak berautoriti.
“Namun, kes ini berbeza daripada orang hilang dalam keadaan biasa kerana mereka hilang dalam suatu bencana besar yang nyata mengancam nyawa.
“Faktor ini sudah tentu boleh diambil kira oleh pihak berautoriti dan mahkamah dalam membuat penentuan berdasarkan bukti serta keadaan sebenar,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, mereka tidak boleh dikategorikan sebagai sudah meninggal dunia kerana syarak sangat berhati-hati dalam perkara membabitkan nyawa, perkahwinan, pusaka dan hak seseorang.
Menurutnya dalam isu mafqud, tiada tempoh tertentu disepakati oleh semua fuqaha (ahli hukum) untuk secara automatik menganggap seseorang sudah meninggal dunia.
“Dalam mazhab al-Syafi’i, pandangan yang kuat memberikan ruang kepada hakim membuat penentuan berdasarkan bukti dan keadaan sesuatu kes.
“Sebab itu, tempoh sebulan semata-mata bukan bukti muktamad kematian.
“Lebih-lebih lagi, kerajaan sebelum ini melaporkan usaha pencarian diteruskan dan sampel DNA waris 55 rakyat Malaysia juga sudah diperoleh bagi membantu proses pengecaman sekiranya diperlukan,” katanya.
Mohd Sukkki berkata, keluarga mangsa diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu proses pencarian serta pengecaman seperti rekod perjalanan, lokasi terakhir, gambar, maklumat perubatan dan DNA apabila diperlukan.
Selain itu katanya, mereka boleh mendapatkan nasihat pihak berautoriti agama dan perundangan berkaitan perkara yang mungkin timbul daripada status mafqud, khususnya urusan perkahwinan, harta, hutang, pusaka dan tanggungan keluarga.
“Jangan membuat keputusan sendiri bahawa ahli keluarga sudah meninggal dunia selagi belum ada pengesahan sewajarnya,’ katanya.
Mohd Sukki berkata, apabila usaha pencarian sudah sampai ke suatu tahap tertentu, dan bukti yang ada dinilai secara menyeluruh, kerajaan wajar menyelaraskan tindakan antara semua pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa agama serta institusi kehakiman supaya status mereka dapat ditentukan menurut saluran undang-undang dan hukum syarak.
Jelasnya, ia penting kerana penentuan kematian bukan sekadar persoalan nama seseorang dikeluarkan daripada senarai orang hilang, tetapi mempunyai implikasi sangat besar terhadap iddah isteri, status perkahwinan, nafkah, hutang, harta, faraid, insurans atau takaful serta hak anak-anak dan waris.
© New Straits Times Press (M) Bhd




