nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan sedia membantu Polis Thailand bagi mengesan suspek yang menembak mati rakyat Malaysia di Golok, Selatan Thailand, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan bantuan daripada pihak berkuasa negara terbabit.
“Kita mengetahui kejadian yang berlaku membabitkan rakyat Malaysia maut dan kita juga bersedia untuk membantu selain sentiasa memantau perkembangan kes berkenaan.
“Jika diminta bantuan oleh rakan sejawatan di Thailand dengan diberi fotofit suspek, kita akan bantu mengesannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ditanya dakwaan mengenai suspek yang mempunyai dua kerakyatan termasuk warga Malaysia, beliau memaklumkan tidak mengetahui perkara itu.
“Itu kena polis Thailand siasat, saya tidak tahu sama ada suspek mempunyai dua kerakyatan atau sebaliknya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang peniaga rakyat Malaysia maut ditembak dengan 18 das tembakan di rumahnya di Golok.
Mangsa yang berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 9 malam ketika menerima rawatan di hospital. Kejadian turut disaksikan isteri mangsa, manakala suspek dipercayai mempunyai pertalian keluarga sudah melarikan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



