mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang terkandas susulan pembatalan penerbangan di Indonesia akibat letusan Gunung Anak Krakatau terpaksa mengeluarkan kos tambahan apabila harga tiket penerbangan pulang didakwa melonjak sehingga tiga kali ganda.
Dhia Adawiah, 26, dari Kuala Lumpur sepatutnya pulang pada 5 pagi hari ini dengan Batik Air selepas tiba di Jakarta seorang diri pada 4 September lalu untuk menonton konsert kumpulan muzik Indonesia, Kahitna, namun penerbangannya dibatalkan.
Menurutnya, dia dapati harga tiket penerbangan sehala ke Malaysia esok mencecah sekurang-kurangnya RM1,071 seorang selain terpaksa menanggung sendiri kos tambahan penginapan RM150 bagi satu malam.
“Harga flight (tiket penerbangan) semuanya sudah naik tiga kali ganda.
“Bila saya periksa kalau hendak balik esok paling murah RM1,071 selain hotel pula satu malam tambahan RM150.
“Sekarang saya kena tunggu keadaan macam mana. Kalau esok sudah okay untuk terbang, saya akan tempah penerbangan terus,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Eksekutif pemasaran itu berkata, keadaan itu turut menjejaskan urusan kerjanya apabila banyak perkara perlu diselesaikan sekembalinya ke tanah air.
“Susah sangat sebab banyak urusan kerja kena diselesaikan.
“Ini kali pertama seumur hidup saya berdepan keadaan seperti ini,” katanya.
Setakat ini, katanya, pihak syarikat penerbangan masih belum memberi maklum balas menyebabkan dia terpaksa memohon tuntutan bayaran balik dan bercadang membeli tiket penerbangan lain sebaik keadaan mengizinkan.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Fatin Nur Athirah Mohd Rodzi, dari Shah Alam, Selangor pula berkata, dia sepatutnya pulang menaiki KLM Royal Dutch Airlines pada 7.30 malam ini, namun menerima notifikasi pada 8 pagi tadi yang penerbangan berkenaan dibatalkan.
Menurutnya, dia ke Jakarta dengan menaiki penerbangan itu bersama lima lagi ahli keluarganya sejak Khamis lalu atas urusan kerja.
“Saya memang risau sebab esok anak-anak sudah mula sekolah dan saya juga perlu kembali bekerja.
“Bila jadi macam ini memang serabut kerana ini kali pertama saya terkandas di negara orang,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga terkandas di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan mahu mendapatkan penjelasan, namun kaunter syarikat penerbangan terbabit serta AirAsia masing-masing masih belum dibuka.
“Keadaan di lapangan terbang sesak dengan ramai orang kita terkandas di lapangan terbang, malah saya tengok banyak debu pada kenderaan.
“Saya berharap keadaan kembali stabil, urusan penerbangan dipermudahkan dan dapat penerbangan alternatif untuk balik secepat mungkin,” katanya.
Letusan berterusan Gunung Anak Krakatau sejak Jumaat lalu menyebabkan abu vulkanik tersebar sehingga enam lapangan terbang menggantung operasi penerbangan.
Gangguan itu turut menjejaskan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa termasuk laluan menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.
© New Straits Times Press (M) Bhd


