Rakyat perlu bersiap sebarang cabaran ekonomi

Rakyat perlu bersiap sebarang cabaran ekonomi

PETALING JAYA: Rakyat diingatkan supaya mengelakkan pembaziran melampau khususnya melibatkan sisa makanan yang direkodkan mencecah 12,000 tan metrik sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, angka yang diperoleh daripada mesyuarat Jemaah Menteri itu amat membimbangkan dan memerlukan kesedaran serius masyarakat ketika ini.

Menurutnya, jumlah sisa makanan yang tinggi menunjukkan perlunya perubahan sikap rakyat agar lebih berhemah dalam pengurusan makanan dan perbelanjaan.

“Sebulan sahaja 12,000 tan metrik sisa makanan dihasilkan. Kita perlu benar-benar fikir tentang perkara ini. Dalam keadaan ketidaktentuan global dan peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir, kita perlu sentiasa bersiap sedia dengan bekalan makanan dan tenaga yang mencukupi,” katanya dalam ucapan program Ziarah MADANI Ihya Ramadan di sini hari ini.

Ramanan berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak dilarang, namun perlu diraikan secara sederhana tanpa mengabaikan tanggungjawab mengurus perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran makanan.

“Walaupun ekonomi negara kini berada dalam keadaan baik dan nilai ringgit menunjukkan perkembangan positif, kita tidak boleh leka kerana cabaran ekonomi masa depan sukar dijangka,” katanya.

Beliau turut menyarankan Malaysia mencontohi beberapa langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh negara jiran seperti Thailand.

Katanya, negara itu menggalakkan pekerja menggunakan tangga bagi menjimatkan penggunaan elektrik, menetapkan suhu penyaman udara pejabat pada 26 darjah Celsius serta melaksanakan polisi bekerja dari rumah (WFH) bagi mengurangkan penggunaan petrol dan diesel.

“Apabila jiran kita sudah mula membuat persediaan sebegini, wajarlah kita turut mengambil langkah sama. Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

“Tidak perlu mengadakan rumah terbuka terlalu besar sehingga berlaku pembaziran. Lebih baik bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan seperti asnaf dan anak-anak yatim,” katanya.

Dalam majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada tiga rumah anak yatim serta sebuah pusat tahfiz sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kerajaan terhadap golongan tersebut. – UTUSAN

Scroll to Top