Rakyat perlu faham impak pasatran global

Rakyat perlu faham impak pasatran global

Shah Alam: Penyelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin disifatkan sebagai langkah perlu bagi memastikan negara kekal bertahan susulan ketidaktentuan situasi di Asia Barat yang memberikan impak kepada pasaran global.

Ketua Penerangan PKR Selangor Saifuddin Shafi Muhammad berkata, langkah itu, yang disambut baik, bertujuan mengelakkan kesan limpah yang lebih besar, sekali gus mengganggu momentum pertumbuhan ekonomi negara.

“Tindakan kerajaan mengekalkan subsidi BUDI95 pada kadar RM1.99 sen seliter ialah satu iltizam untuk memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan dampak ekonomi walaupun pada masa yang sama terpaksa menyelaraskan pada tahap penggunaan 200 liter sebulan bermula pada 1 April.

“Langkah ini untuk menjamin bekalan minyak agar mencukupi bagi kegunaan pada jangka masa lebih panjang bergantung pada penyelesaian konflik antarabangsa antara Amerika Syarikat, Iran dan laknatullah Israel,” katanya tadi.

Saifuddin Shafi dalam kenyataan sama turut mengucapkan penghargaan atas usaha untuk mengetatkan pengawasan aktiviti penyeludupan minyak di sempadan negara serta langkah proaktif dalam mengawal salah guna subsidi di stesen minyak tempatan.

Beliau berkata semua pihak harus bekerjasama sama ada pada peringkat pentadbiran atau masyarakat dalam memastikan langkah itu tidak diselewengkan oleh `penyangak subsidi’ yang sanggup melakukan apa sahaja demi keuntungan.

“Penerangan Keadilan Negeri Selangor turut mengalu-alukan cadangan agar konsep bekerja dari rumah diaktifkan secara berperingkat dengan perincian agar mutu perkhidmatan awam terutamanya tidak terjejas.

“Hal ini bagi memastikan semua urusan berjalan dengan lancar, serta difahamkan sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan tidak terlibat dengan cadangan ini. Kami juga menyarankan agar sektor swasta memberikan sokongan kepada inisiatif kerajaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Shafi turut menyeru agar masyarakat di Selangor sentiasa bersedia dan berwaspada dengan impak yang bakal berlaku sepanjang situasi tersebut, selain pimpinan tempatan, terutama lantikan politik perlu terus memperkemas penerangan tentang usaha kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata dengan kepimpinan Anwar pada peringkat Persekutuan serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada peringkat negeri akan memastikan usaha yang jitu dalam memastikan dasar dilaksanakan akan mengutamakan kebajikan rakyat.

Semalam, Anwar dalam perutusan khas berharap rakyat memahami langkah penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula pada 1 April ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat secara teliti dan berhemat dengan mengambil kira tekanan ekonomi global yang dihadapi negara susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan langkah penyelarasan itu bersifat sementara sehingga pasaran, bekalan minyak serta ekonomi dunia kembali stabil, namun mengakui setakat ini belum ada tanda-tanda ke arah pemulihan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top