TAIPEI: Majoriti rakyat Taiwan percaya bahawa China tidak mungkin akan menyerang negara mereka dalam tempoh lima tahun akan datang, tetapi melihat China sebagai ancaman serius kepada Taiwan.
Tinjauan yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Negara (INDSR) terhadap kira-kira 1,200 orang yang dijalankan bulan lalu menunjukkan 61 peratus orang awam berpendapat ‘tidak mungkin’ atau ‘sangat tidak mungkin’ bahawa China akan menyerang Taiwan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kebanyakan penduduk tidak merasakan cita-cita wilayah China akan menjelma dalam bentuk menyerang Taiwan,” kata Penyelidik INDSR, Christina Chen, lapor CNA.
Tambah Christina, rakyat Taiwan bagaimanapun bimbang tentang ancaman China yang lain, termasuk latihan ketenteraan dan kempen propaganda.
“Kebanyakan orang melihat cita-cita wilayah China sebagai ancaman serius. Ini bermakna rakyat Taiwan sedar tentang ancaman itu tetapi kekal tenang dan rasional dengan jangkaan perang yang akan berlaku,” tambahnya.
Menurut tinjauan itu lagi, lebih 67 peratus responden berkata mereka akan melawan jika China menyerang, tetapi terbahagi hampir sama rata sama ada angkatan tentera Taiwan mampu mempertahankan negara itu, dengan separuh menyatakan keyakinan dan separuh tidak yakin.
Sementara itu, kira-kira 74 peratus percaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) mungkin ‘secara tidak langsung’ membantu Taiwan dengan menyediakan makanan, bekalan perubatan dan senjata, dengan hanya 52 peratus berpendapat tentera AS akan menghantar angkatan tenteranya untuk campur tangan.
Seorang lagi penyelidik INDSR, Lee Kuan-chen berkata, tentera Taiwan harus terus meningkatkan keupayaan pertahanannya untuk membina kepercayaan orang ramai.
“Kerajaan Taiwan harus lebih telus mengenai kerjasama keselamatan antara Taiwan-AS.
“Dengan cara itu, orang ramai tidak akan mempunyai jangkaan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah terhadap bantuan AS,” katanya. -Agensi/ -HARAKAHDAILY 7/10/2024









