Rakyat Tamil Nadu siap sedia pilih kerajaan baharu

Pengundi beratur membuang undi di Pirakata, Bengal Timur pada Mac lalu. (Gambar AP)

NEW DELHI: Lebih 62 juta penduduk Tamil Nadu layak mengundi dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Parti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) yang berkuasa berdepan saingan sengit daripada parti Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) yang berusaha merebut kembali kuasa selepas sedekad menjadi pembangkang.

Pengundi akan memilih 234 anggota kabinet daripada kira-kira 4,000 calon yang mewakili pelbagai parti.

Berbaki beberapa minggu menjelang pilihan raya, Ketua DMK M.K. Stalin dan pemimpin AIADMK merangkap Ketua Menteri E.K. Palaniswami masing-masing rancak menjalankan kempen dengan dibantu sekutu mereka.

Berbekalkan prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya parlimen 2019, DMK berharap dapat menyekat AIADMK daripada terus berkuasa untuk penggal ketiga berturut-turut.

AIADMK, yang kehilangan pemimpin berkarisma, J. Jayalalithaa pada 2016 pula mengharapkan pakatannya dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) akan membuahkan hasil.

Tamil Nadu merupakan medan pertempuran utama dalam arena politik negara ketika parti Kongres bersekutu dengan DMK untuk menghentikan BJP terus bertapak di negeri selatan.

Pemerhati politik berpendapat ketiadaan Jayalalithaa berkemungkinan menjejaskan prospek AIADMK kerana mendiang pemimpin itu tidak membenarkan politik berpuak-puak.

“Ada masalah kepemimpinan yang belum selesai mengenai siapa yang akan mewarisi kedudukan Jayalalithaa. Sementara Stalin pula tidak menghadapi cabaran dalam DMK,” kata Timbalan Editor Kanan majalah Frontline di Chennai, T.K. Rajalakshmi kepada Bernama.

Menurut beliau, pengundi di wilayah berbahasa Tamil juga bimbang terhadap dasar bahasa pro-Hindi BJP dan dilihat sebagai parti yang mewakili kepentingan India utara.

“Bahasa adalah masalah besar di Tamil Nadu. Malah anggota AIADMK juga curiga terhadap BJP,” kata Rajalakshmi.

Profesor Sains Politik di Universiti Madras, R. Manivannan berkata faktor BJP tidak membantu parti pemerintah negeri itu.

“Rakyat menjangkakan BJP akan memerintah Tamil Nadu jika AIADMK menang dan itu tidak membantu hubungan negeri dan kerajaan pusat. Tinjauan pra-pilihan raya menunjukkan undian kini beralih menyokong DMK,” katanya.

Semasa kempen pilihan raya, semua parti politik utama membuat pelbagai janji popular selain menawarkan hadiah percuma untuk menarik pengundi.

Keputusan pilihan raya 6 April akan diumumkan pada 2 Mei.