Rakyat Turkiye sertai konvoi 500 kenderaan tanda solidariti ke atas Iran

Rakyat Turkiye sertai konvoi 500 kenderaan tanda solidariti ke atas Iran

IGDIR – Ratusan rakyat Turkiye dilaporkan menyertai konvoi lebih 500 kenderaan menuju ke kawasan sempadan Gurbulak–Bazargan di sempadan Iran, sebagai simbol solidariti terhadap rakyat negara tersebut, menurut laporan media Iran.

Konvoi berkenaan berlepas dari bandar Igdir menuju ke pintu sempadan berkenaan dengan peserta membawa bendera serta melaungkan slogan yang menyatakan sokongan terhadap hubungan persahabatan antara Turkiye dan Iran.

Media rasmi Iran, IRNA melaporkan bahawa pada akhir perhimpunan itu, seramai 72 warga Turkiye dilaporkan menyeberangi sempadan masuk ke Iran, sebelum disaksikan oleh peserta konvoi lain yang berada di kawasan sempadan.

Kumpulan aktivis dan masyarakat sivil turut dilaporkan mengadakan perhimpunan di Dataran Sa’at, Tabriz, dengan menyuarakan sokongan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai ‘rintangan terhadap musuh Zionis dan Amerika’.

Dalam perhimpunan itu, para aktivis turut menyeru pembentukan rangkaian ‘media rintangan’ yang menghubungkan Turkiye dan Iran bagi memperkukuh naratif solidariti serantau.

Ketua rangkaian media Turkiye, Quds TV, Nurettin Sirin berkata, mereka melihat perjuangan tersebut sebagai satu usaha bersama umat Islam di rantau berkenaan.

“Kami bukan rakyat Iran, tetapi kami adalah satu umat,” katanya ketika berucap di Tabriz.

Beliau turut menyifatkan konflik yang berlaku bukan hanya melibatkan Iran, sebaliknya sebagai ‘perjuangan terhadap umat Islam dan golongan tertindas di seluruh dunia’.

Sirin mendakwa bahawa umat Islam di Turkiye dan Iran berada di barisan yang sama menentang Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau juga menyatakan pernah bertemu dengan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dalam beberapa kesempatan, serta mendakwa kepimpinan Iran kini diteruskan oleh Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei.

Sementara itu, Mehmet Demirdag, ketua sebuah institusi sivik dan kebudayaan Turkiye dikenali sebagai Vali Asr berkata, 72 rakyat Turkiye yang memasuki Iran datang dari pelbagai bandar dan latar belakang agama berbeza.

Beliau mendakwa kumpulan itu pada asalnya merancang untuk berada di Iran ketika konflik baru-baru ini, namun kelewatan koordinasi menyebabkan mereka tiba selepas gencatan senjata dilaksanakan.

“Rakyat Iran adalah sebuah bangsa yang bermaruah. Ketika berlaku konflik kecil di Asia Barat rakyat negara lain melarikan diri ke Turkiye. Namun walaupun diserang oleh dua kuasa tentera besar, Amerika dan Israel, rakyat Iran tidak meninggalkan negara mereka,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Iran kekal sebagai negara kuat yang tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar selama beberapa dekad, dan menyatakan keyakinan bahawa ‘akhirnya kemenangan akan berpihak kepada mereka’.

Perhimpunan dan konvoi tersebut merupakan sebahagian daripada siri solidariti rentas sempadan yang semakin mendapat perhatian di wilayah timur Turkiye sejak kebelakangan ini. – Agensi

Scroll to Top