Penyanyi dikir barat Malaysia yang ditangkap atas kesalahan didakwa memiliki 6,000 pil bersama lima lagi rakyat Malaysia mendakwa telah ditawarkan dua khidmat peguam Thailand dengan bayaran 10 juta baht (lebih RM1 juta) seorang.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi berusia 29 tahun itu bagaimanapun memaklumkan dia terpaksa menolak tawaran itu kerana ahli keluarganya tidak mampu membayar jumlah tersebut.
“Saya dimaklumkan oleh keluarga dua peguam dari sini (Thailand) menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kes saya, tetapi setiap seorang meminta saya membayar 10 juta baht.
“Keluarga saya tidak mampu untuk membayar yuran itu dan menolak tawaran mereka dengan baik.
“Saya sedar ramai yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan saya, tetapi keluarga saya tidak mampu untuk membayarnya,” katanya.
Namun begitu, difahamkan ahli keluarga penyanyi berasal dari Kelantan itu kini sedang mengumpul wang dan dalam pertimbangan untuk mengupah peguam lain dari Thailand.
Dalam pada itu, penyanyi ini turut menjelaskan dia dan rakan-rakan lain menerima layanan yang baik sepanjang ditahan di penjara Narathiwat.
“Banduan Malaysia di sini dilayan sama seperti banduan lain. Saya dan rakan-rakan saya berada dalam keadaan baik di sini.
“Sebagai umat Islam, kami bebas untuk melaksanakan kewajipan kami. Selain melakukan solat harian, kami juga dibenarkan melakukan solat khas setiap hari,” katanya.
Pada 1 November, artis Malaysia dan lima rakyat Malaysia yang lain ditangkap kerana disyaki memiliki 6,000 pil di sebuah hotel di bandar Sungai Golok.
Susulan penangkapan mereka, mahkamah Narathiwat memberikan polis perintah tahanan lanjut selama 84 hari terhadap enam individu itu.
Penyanyi itu dikenali ramai kerana lagu hit popularnya ‘Cinta Setandan Pisang’ atau ‘Bea Soba Bea’.
Artikel Berkaitan: Diberkas Polis Thailand Bersama 6,000 Pil Kuda, 6 Rakyat Malaysia Termasuk Penyanyi Wanita Tersohor Kelantan Positif Dadah
Sumber: Harian Metro




