'Ramai gelarkan kami tamak, bodoh tetapi ini untuk pelaburan…' – Mangsa

'Ramai gelarkan kami tamak, bodoh tetapi ini untuk pelaburan…' – Mangsa

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dijanjikan hidup bebas hutang dan pendapatan tambahan dengan syarat perlu membuat pinjaman RM800,000 daripada beberapa bank berbeza untuk dilaburkan bagi mendapat keuntungan.

Itu taktik digunakan sebuah syarikat penasihat kewangan yang disyaki terbabit sindiket penipuan pinjaman peribadi seperti dibongkarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sky baru-baru ini.

Tipu helah syarikat berkenaan amat teliti sehingga mampu memperdaya golongan profesional berpendidikan tinggi seperti doktor dan guru yang kini terpaksa menanggung hutang mencecah jutaan ringgit malah ada yang sudah atau menanti diisytiharkan muflis.

Ada juga antara mereka yang memohon bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mengurangkan ansuran bulanan namun ada yang perlu membayar ansuran sehingga 99 tahun.

Mangsa, Doktor Akmal, 35, berkata, dia berasa kecewa apabila orang ramai memanggil mereka tamak dan bodoh walaupun tidak mengetahui cerita sebenar.

“Ramai yang gelarkan kami tamak, bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya ramai daripada kami sertai ini adalah untuk pelaburan.

“Penasihat mereka yang approach (mendekati) kami, hampir semuanya bekas pegawai bank, berjawatan kanan dalam bank ternama dan soalan pertama saya sendiri tanya adakah benda (pelaburan) ini legal (sah)?

“Sudah tentu mereka kata sah, tetapi saya juga ada buat kajian sendiri, syarikat ini ada buat portfolio pelaburan yang pelbagai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pada peringkat awal semuanya kelihatan normal, saya sendiri menyertai pelaburan sejak 2021 dan semuanya berjalan lancar seperti dijanjikan.

Katanya, selain penasihat mereka yang terdiri dalam kalangan pegawai bank sendiri, syarikat itu juga menganjurkan kelas pengurusan kewangan malah mengadakan seminar untuk mengenal pasti penipuan.

Akmal berkata, dia sendiri menghabiskan masa kira-kira enam bulan sebelum mula percaya untuk melabur bersama syarikat itu sekitar tahun 2021.

“Saya semak latar belakang syarikat semuanya sah, jadi sebab itu saya sertai, pada peringkat awal ada pulangan, dan saya juga tidak perlu bayar ansuran bulanan (RM12,800) seperti yang dijanjikan

“Ketika nak buat loan pun mudah, seperti sudah disusun, ‘coach’ akan ajar kita semua, apa untuk dicakap, bila masa untuk tanya, malah eksekutif bank datang ke pejabat kami untuk tandatangan,” katanya.

Dia ditemui sidang media bersama Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, di sini.

Seorang lagi mangsa yang juga seorang guru dikenali sebagai, Ain, 39, berkata dia kini hidup merana dan tertekan apabila keseluruhan gajinya masih tidak mencukupi untuk membayar ansuran bulanan kepada bank.

Menurutnya, syarikat berkenaan mengarahkannya membuat pinjaman keseluruhan lebih RM800,000 daripada empat bank berbeza kononnya untuk dilaburkan kemudian akan menerima sedikit pulangan selain hutang sedia ada diselesaikan pihak syarikat.

“Saya sangat berhati-hati, saya semak, saya periksa, mereka kata mereka syarikat perunding kewangan yang dapat bantu untuk selesaikan masalah kewangan, biasalah hidup ini kadang-kadang ada masalah kan.

“Masa saya semak, saya dapati mereka ada iklan di TV (television), ada ‘billboard’ (papan iklan), ada iklan radio, jadi saya fikir tak kan lah menipu kan?

“Saya pun sertai pada Ogos tahun lalu, dan pada peringkat awal mereka selesaikan hutang kad kredit dan hutang pinjaman koperasi semuanya kira-kira RM46,000,” katanya.

Menurutnya, dia dan mangsa-mangsa lain berasa yakin untuk membuat pinjaman berdasarkan rekod syarikat yang hebat di samping nama-nama besar dalam industri perbankan turut berada dalam organisasi itu.

Katanya, syarikat berkenaan juga sering memberi bantuan dan sumbangan kepada sekolah, hospital, serta badan kebajikan menjadikan tipu helah mereka begitu sukar dikesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top