am@hmetro.com.my
Pitas: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini dijangka lebih ramai berbanding dilaporkan setakat ini, susulan proses pendaftaran yang lambat.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah, berkata daftar mangsa banjir yang dilaporkan di lapan PPS, di sini, setakat ini belum merangkumi semua mangsa yang dipindahkan.
“Ada empat PPS dibuka di Pitas dengan seramai 1,584 mangsa membabitkan 774 ketua isi rumah (KIR) didaftarkan setakat ini, tapi masih ramai lagi yang belum didaftarkan.
“Proses pendaftaran lambat kerana petugas di PPS terpaksa membuat secara manual disebabkan liputan internet yang tidak baik di sini. Pendaftaran mangsa sepatutnya dibuat secara dalam talian bagi mempercepatkan prosesnya, tapi kita berdepan masalah talian internet,” katanya ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ruddy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, berkata proses pemindahan mangsa banjir ke PPS berjalan lancar berikutan tindakan pantas ramai mangsa berpindah ke tempat lebih tinggi sejurus kediaman mereka dinaiki air.
“Sebagai wakil rakyat, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat yang terkesan dengan banjir kerana sedia berpindah ke tempat tinggi sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) datang ke lokasi mereka untuk dibawa ke PPS.
“Soal kebajikan, terutama segala makan minum mereka memang terjaga dan tiada sebarang keluhan setakat ini, semua berpuas hati kerana dilayan dengan baik.
“Bagaimanapun, kita mengakui memang ada keperluan lagi untuk meningkatkan kebajikan dan mempercepatkan bantuan kepada mangsa kerana banjir kali ini cukup besar,” katanya.
Beliau berkata, banjir adalah bencana yang berlaku setiap tahun di daerah ini, namun situasi kali ini lebih besar kerana membabitkan lebih ramai mangsa dan banyak kawasan.
Katanya, kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa banjir menerima bantuan sewajarnya yang disediakan kerajaan bagi meringankan beban ditanggung mereka akibat musibah berkenaan.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah, daerah Pitas merekodkan paling banyak kampung terjejas banjir setakat ini iaitu 30 kampung, manakala sebanyak 18 kampung dilaporkan terputus hubungan.
Kampung terjejas banjir di Pitas ialah Kesagaan Rukom Ulu, Salimpodon Laut, Salimpodon Darat, Kelumpang, Linggisan, Mantus Darat, Bilangau Besar, Gorib, Tambilidon, Luntuk, Marasimsim Laut, Kambau, Gailun, Pinggan-Pinggan, Pondoi, Sinasak Senaja, Gusung, Kalipuon, Kemiri, Kedayan, Desa Seberang, Bawang, Saab Darat, Kusilad, Sibaung, Kanibongan, Mendamai Bai dan Sosop Bai.
Sementara itu, kampung yang terputus hubungan pula ialah Nunguh Mandurian Ulu, Sanitan Laut, Nibang, Mangkabusu, Kodundung Bersatu, Narandang Laut, Narandang Darat, Manduring, Botung, Ampungoi, Masin Besar, Simpang Empat, Simpang, Sulakolung, Layung, Pandan Mendamai dan Mandurian.
Setakat tengah hari tadi, seramai 3,768 mangsa banjir direkodkan di tiga daerah terjejas banjir di utara Sabah iaitu Kota Marudu (1,923 orang), Pitas (1,653 orang) dan Paitan (192 orang).
© New Straits Times Press (M) Bhd




