sukan@hmetro.com.my
Bangkok: Generasi baharu pemain bola jaring negara membuktikan standard Malaysia kekal utuh di pentas Sukan Sea apabila bangkit daripada ketinggalan tujuh gol untuk menewaskan seteru tradisi, Singapura, 52-49 pada aksi final di Stadium Chantana Yingyong, semalam sekali gus menghadiahkan pingat emas ketiga negara daripada tiga penampilan.
Walaupun dibarisi ramai muka baharu, skuad negara mempamerkan ketenangan dan keyakinan tinggi untuk memadam defisit pada separuh masa pertama sebelum menguasai permainan di penghujung perlawanan.
Kapten pasukan, Nur Syafazliyana Ali berkata, kejayaan itu didorong oleh kebebasan bermain tanpa tekanan.
“Kali ini kebanyakan pemain adalah baharu. Mereka datang semata-mata untuk bermain dan memberikan yang terbaik, bukan kerana mahu mempertahankan emas atau terikat dengan pengalaman final sebelum ini,” katanya.
Malaysia ketinggalan dalam dua suku awal apabila Singapura memenangi suku pertama dan kedua 13-12 serta 28-22, namun pendekatan bermain secara tersusun dan fokus satu demi satu penguasaan bola menjadi titik kebangkitan.
“Kami fokus pada bola seterusnya dan tugasan seterusnya. Ketika ketinggalan tujuh gol, tugas kami memintas bola dan menukarkannya kepada jaringan,” katanya.
Strategi itu membuahkan hasil apabila Malaysia menyamakan kedudukan 38-38 pada suku ketiga sebelum melengkapkan kebangkitan untuk mengesahkan emas.
Ketua jurulatih, Choo Kon Lee memuji komitmen serta disiplin pemain yang terus percaya kepada sistem pasukan meskipun berdepan tekanan.
Kejayaan di Bangkok itu mengukuhkan dominasi Malaysia dalam bola jaring di Sukan Sea selepas turut memenangi emas pada edisi 2017 dan 2019.
Singapura pula terus kempunan gelaran dengan kali terakhir muncul juara pada 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd




